Selasa, 10 Oktober 2017 | 5:48pm
TIMBALAN Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berucap pada majlis perasmian Program Pengurusan Harta Pusaka Islam anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Melaka di Masjid Jamek Putra, Alor Gajah, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman

Jemaah, agensi pelancongan diminta bertenang

ALOR GAJAH: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menasihatkan kumpulan jemaah yang bakal menunaikan umrah supaya tidak panik selepas kementerian itu mengeluarkan senarai 25 syarikat umrah yang sudah mendapat Lesen Khas Umrah (LKU).

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata jumlah senarai yang dikeluarkan itu bukanlah muktamad kerana pihaknya masih lagi memproses lebih 400 permohonan syarikat yang menawarkan pakej sama di seluruh negara.

"Kekeliruan itu menyebabkan pihak kita (kementerian) menerima banyak rungutan daripada agensi pelancongan yang mendakwa ramai jemaah bertindak membatalkan bayaran yang sudah dibuat dan meminta wang deposit mereka dikembalikan.

"Situasi ini bukan saja membuatkan jemaah bimbang terhadap status perjalanan dan sebarang kemungkinan di saat akhir sebelum tarikh penerbangan, malah memberi kesan ke atas perniagaan agensi pelancongan yang belum tersenarai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pengurusan Harta Pusaka Islam anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Melaka di Masjid Jamek Putra, di sini, hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, pihaknya masih memberi ruang kepada agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah dan meminta mereka supaya mendapatkan LKU dalam tempoh segera.

"Kita beri tempoh sehingga hujung tahun ini untuk mereka memohon lesen dan sekiranya tidak berbuat demikian sehingga tempoh yang ditetapkan, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

"Sehingga kini, kita masih lagi menerima permohonan daripada syarikat yang terbabit dalam pakej umrah dengan 400 daripadanya (syarikat) sudah melengkapkan dokumentasi dan sedang di proses," katanya.

Berita Harian X