Selasa, 10 Oktober 2017 | 4:16pm
PENAUNG Malaysia Psychiatric Association (MPA), Tan Sri Lee Lam Thy (dua kiri) bersama Dr Abdul Kadir Bakar (kiri), Setiausaha MPA, Prof Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari dan Anita Abu Bakar (kanan) di sidang media sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2017. - Foto Zunnur Al Shafiq

Hentikan diskriminasi kesihatan mental di tempat kerja

hafzan@bh.com.my

PETALING JAYA: Majikan diminta tidak mendiskriminasi pekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental, sebaliknya bersikap memberi sokongan kepada mereka dengan membantu mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pekerja yang berhadapan dengan kes kesihatan mental tidak sepatutnya berhadapan dengan tindakan dibuang atau digantung kerja, tetapi perlu mendapat pembelaan dan perlindungan sepenuhnya daripada majikan.

"Bila timbul sesuatu kes di tempat kerja membabitkan kesihatan mental, majikan seharusnya bertanggungjawab memastikan pekerja diberi khidmat kaunseling dan seterusnya dirujuk kepada pakar psikologi supaya mereka mendapat nasihat dan panduan yang diperlukan.

"Majikan dalam pelbagai sektor perlu mengambil kira terhadap kepentingan menggalakkan amalan kesihatan mental yang baik kerana ia bukan saja membantu meningkatkan produktiviti tetapi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi," katanya pada sidang media sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2017, di sini.

Hari Kesihatan Mental Sedunia inisiatif Kesatuan Kesihatan Mental Sedunia disambut setiap 10 Oktober dan tahun ini bertemakan Kesihatan Mental Di Tempat Kerja.

Lam Thye turut mencadangkan setiap majikan perlu memastikan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Pekerjaan yang diwajibkan kepada di semua tempat kerja yang memiliki lebih 40 pekerja, memberi perhatian kepada masalah kesihatan mental.

"Jawatankuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesejahteraan Pekerja biasanya akan membincangkan masalah keselamatan berkaitan di tempat kerja seperti tiada kelengkapan perlindungan keselamatan, tetapi tidak ada yang menyentuh mengenai kesihatan mental.

"Biarpun tiada peruntukan khusus, ini tidak bermakna pekerja tidak boleh membangkitkan masalah mengenai kesihatan mental kepada jawatankuasa terbabit.

"Ada banyak masalah dihadapi pekerja berkaitan kesihatan mental seperti kebimbangan, kemurungan dan tekanan. Majikan sepatutnya membantu bukan melakukan diskriminasi terhadap mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lam Thye berkata, sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan sistem penilaian kesihatan mental berikutan meningkatnya pelbagai isu yang mempengaruhi kesejahteraan masyarakat.

Katanya, pembangunan indeks penilaian psikologi boleh dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan hasilnya digunakan untuk membantu pihak terbabit merancang program berterusan bagi menangani isu kesihatan mental.

"Saya mencadangkan setiap organisasi mengambil kira risiko tekanan dan aspek psikososial berkaitan pekerjaan sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin yang mencadangkan supaya Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia diwujudkan bagi mengukur tahap kesejahteraan mental dan emosi rakyat negara ini.

Berita Harian X