Isnin, 9 Oktober 2017 | 12:54pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri) merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman (tiga dari kiri). - Foto BERNAMA

Wujudkan Indeks Kesejahteraan Psikologi - Zahid

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan satu indeks khusus, iaitu Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia diwujudkan bagi mengukur tahap kesejahteraan mental rakyat di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, golongan cendekiawan dalam perkhidmatan awam dan tenaga pakar sedia ada boleh membangunkan terma rujukan serta parameter bersesuaian bagi menyukat tahap kesejahteraan psikologi rakyat.

"Saya menyarankan agar kaedah tertentu diperkenalkan untuk menilai tahap kesihatan mental setiap modal insan di negara ini.

"Ia penting bagi memastikan jentera tenaga kerja yang menyumbang kepada pembangunan negara diisi dengan individu yang sentiasa berfikiran positif, matang, pemikiran kreatif dan inovatif serta ampuh berdepan cabaran semasa," katanya merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut berharap perkhidmatan psikologi dalam pengurusan modal insan di negara ini terus diperkasa bagi memastikan keseimbangan fizikal, emosi, tingkah laku dan kerohanian warga kerja berada pada tahap terbaik.

"Keseimbangan ini amat penting dimiliki setiap modal insan bagi membolehkan mereka memberi sumbangan terbaik kepada negara," katanya.

Beliau berkata, modal insan bertaraf dunia boleh dicapai sekiranya setiap tenaga kerja mempunyai minda dan keinginan untuk mencapai kecemerlangan, mengamalkan etika luhur dan budaya berpencapaian tinggi.

Berita Harian X