Isnin, 9 Oktober 2017 | 12:08pm
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) mencating batik, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Azizan Mohamad Sidin, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Mediaprima, Johan Ishak, Timbalan Menteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) dan di perkarangan Sri Pentas, Damansara. - Foto NSTP/Aziah Azmee

KUD 2017 perkasa usahawan luar bandar

PETALING JAYA: Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017) yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu depan, menyasarkan potensi jualan dan unjuran tempahan bernilai RM13 juta.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata karnival yang akan berlangsung selama empat hari bermula 19 Oktober hingga 22 Oktober itu turut akan menghimpunkan seramai 700 usahawan luar bandar di seluruh negara.

Katanya, KUD 2017 yang bertemakan 'Usahawan Desa Produk Global' akan memberi tumpuan khusus kepada usaha memperluaskan akses pasaran produk atau perkhidmatan luar bandar ke bandar, seterusnya ke luar negara.

"Berbeza dengan 2015, kali ini kita memperkenalkan 'Trade Day' iaitu platform jaringan perniagaan antara pihak industri bersama hypermarket, pemasar dan pembeli bersama usahawan.

"Aktiviti perniagaan ke perniagaan (B2B) diberi tumpuan khusus bagi membantu usahawan yang menyertai KUD 2017 memperoleh sekurang-kurangnya tiga jaringan perniagaan dan bukan hanya tertumpu pada hasil jualan semata-mata.

"Selain itu, kita menggiatkan kempen produk baharu dan penjenamaan produk luar bandar menerusi kempen pemasaran iaitu 'street marketing' untuk usahawan luar bandar bersemuka dengan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Prapelancaran KUD 2017 di pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.

Majlis Perasmian KUD 2017 dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Merdeka, PWTC, 20 Oktober ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya menyasarkan sejuta pengunjung memeriahkan KUD 2017 yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

"Penganjuran KUD 2017 membabitkan 732 penyertaan khemah pameran merangkumi 691 khemah usahawan, 30 syarikat swasta dan agensi kerajaan serta 11 daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta agensi kementerian.

"Pengguna dan masyarakat mempunyai pilihan lebih 700 produk jenama keluaran usahawan luar bandar.

"Pengunjung juga akan disajikan dengan pameran demonstrasi dan persembahan artis tempatan," katanya.

 

INFO

  • KUD dianjurkan secara dwitahunan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
  • Bertujuan membantu usahawan luar bandar meluaskan pasaran di peringkat nasional serta global. 
  • KUD 2017 akan dianjurkan pada 19 hingga 22 Oktober bermula jam 10 pagi hingga 10 malam di PWTC.
  • Disertai lebih 700 usahawan luar bandar.

28 dibaca
Berita Harian X