Isnin, 9 Oktober 2017 | 8:19am

425,251 calon duduki ujian bertulis PT3 hari ini

KUALA LUMPUR: Seramai 425,251 calon menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di seluruh negara, bermula pagi ini hingga Khamis.

Daripada jumlah itu, 394,458 adalah calon sekolah kerajaan, 9,034 (calon sekolah agama negeri), 10,949 (calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan 2,540 (calon sekolah agama rakyat).

Manakala 1,091 adalah calon sekolah swasta yang tidak berdaftar dengan KPM), 544 (calon persendirian) dan 65 calon daripada sekolah integriti/ asrama akhlak serta tunas bakti.


Sebahagian calon ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) membaca yasin sebelum memasuki dewan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

PT3 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sejak 2014.

Sementara itu, di Selangor, seramai 75,473 calon menduduki PT3 di 332 pusat peperiksaan di negeri ini.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abu Bakar Baginda, seramai 221 calon menduduki Ujian Bertulis Bahasa Melayu PT3, pagi ini.

Sebelum memasuki dewan, pelajar berhimpun di tapak perhimpunan bagi mendengar amanat daripada Pengetua, Hashim Saryani.

Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu dengan 76,850 pelajar.

"Daripada jumlah tahun ini, seramai 72,377 pelajar adalah daripada sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan; 3,036 calon swasta diikuti seramai 165 calon persendirian.

"Tahun ini, seramai 249 pelajar adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK). 100 daripadanya mempunyai masalah pembelajaran, pelajar mempunyai masalah pendengaran (55), calon rabun (12) manakala bagi calon bisu dengan dua calon, (1) calon buta dan 54 calon mempunyai masalah kecacatan lain-lain," katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2, di sini, hari ini.

Di Pahang, peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang bermula hari ini berjalan lancar membabitkan seramai 22,682 calon menduduki ujian tertulis peperiksaan itu di 220 pusat di seluruh Pahang.

Ujian itu bermula dengan subjek Bahasa Melayu dan Matematik hari ini, diikuti subjek Bahasa Inggeris dan Sains pada Selasa.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail, berkata daripada keseluruhan jumlah calon itu, 107 adalah pelajar berkeperluan khas antaranya cacat akal, pekak, rabun dan cacat fizikal.

"Terdapat juga seramai 18 adalah calon persendirian. Alhamdulillah, peperiksaan PT3 berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah dan kita bersiap sedia untuk menghadapi sebarang masalah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Di Negeri Sembilan, seramai 17,128 calon mula menduduki ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini, di 133 pusat peperiksaan di seluruh Negeri Sembilan, hari ini.

Jurucakap Jabatan Pendidikan negeri, berkata daripada jumlah itu, 15,626 calon adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) (482), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) (453), sekolah swasta (703) dan calon persendirian (19).

"Semua calon menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan yang ditetapkan dan tiada yang menjawab soalan di hospital.

"Daripada 133 pusat peperiksaan, 109 adalah di SMK, SABK (21) dan MRSM (tiga)," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan BH di SMK Yam Tuan Radin di Port Dickson, dekat sini, yang menjadi pusat peperiksaan kepada 208 calon, mendapati ramai ibu bapa hadir memberi sokongan moral kepada anak masing-masing.

Di Sabah, seramai 40,832 calon peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di negeri ini mula menduduki peperiksaan di 244 pusat peperiksaan bermula hari ini.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul, berkata menerusi jumlah itu, 38,654 adalah calon berdaftar bagi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Beliau berkata, seramai 433 calon pula di bawah sekolah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan.

"Tahun ini juga menyaksikan seramai 281 calon sekolah menengah agama negeri, 1,336 calon sekolah swasta selain 117 calon persendirian, empat calon Seri Puteri Inanam dan tujuh calon Tunas Bakti Inanam," katanya.

Di Perak, seramai 35,718 calon menduduki ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) membabitkan 272 pusat peperiksaan di seluruh Perak bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Mat Lazim Idris, berkata daripada jumlah itu, seramai 31,707 adalah calon daripada sekolah kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA seramai 1,067 calon, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seramai 1,550 calon dan Sekolah Agama Negeri seramai 437 calon.

"Selain itu seramai 397 calon adalah dari sekolah swasta, 486 calon lagi dari Sekolah Agama Rakyat, 71 adalah calon persendirian dan tiga adalah calon tahanan dan 89 lagi adalah calon berkeperluan khas (CBK)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu di Melaka, seramai 13,165 calon mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di semua 85 pusat peperiksaan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari, berkata jumlah calon pada tahun ini berkurangan 466 berbanding 13,631 calon PT3 pada tahun lalu.

Beliau berkata, sejumlah 12,490 atau 98.87 peratus calon PT3 mengikuti peperiksaan di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); 294 (2.23 peratus) calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); 365 (2.77 peratus) calon sekolah swasta; 11 calon (0.08 peratus) calon sekolah integriti dan lima calon (0.04 peratus) adalah calon persendirian.

"Daripada 13,165 calon PT3 yang mengambil peperiksaan tahun ini, seramai 55 pelajar juga adalah calon pendidikan khas," katanya sempena lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek di sini, pagi tadi.

Guru Pendidikan Khas, Mohamad Rosli Yahya membetulkan alat bantu pendengaran pelajarnya yang bermasaalah pendengaran (pekak dan bisu) sebelum menduduki peperiksaan pentaksiran tingkatan 3 (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mohamed Al-Bukhary (Integrasi) di Jalan Stadium, Alor Setar. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X