Ahad, 8 Oktober 2017 | 7:16am
KOTA KINABALU 08 OKTOBER 2017. Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi (tengah) bersalaman dengan ahli Persatuan Bermotosikal Berkuasa Tinggi Sabah (SBBA), sebelum perlawanan diantara SPRM Sabah menentang SBBA di Stadium Likas, Kota Kinabalu. STR/MOHD ADAM ARININ.MOHD ADAM ARININ

Bantu sebar mesej anti rasuah

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menggalakkan kerjasama dengan lebih banyak persatuan atau kelab permotoran di negeri ini dalam usaha menyebarkan mesej anti rasuah.

Pengarahnya, Datuk Sazali Salbi, berkata kerjasama seumpama itu penting kerana setiap persatuan sudah mempunyai komuniti tersendiri dan secara tidak langsung memudahkan SPRM menyebarkan maklumat berkaitan anti rasuah.

"Selain mengatakan ceramah, kempen dan pameran berkaitan rasuah untuk agensi kerajaan mahupun swasta, usahasama bersama kelab permotoran juga adalah pendekatan terbaik.

"Melalui hubungan baik ini, kita boleh mengatakan pelbagai aktiviti termasuk kembara ke seluruh negeri untuk menyampaikan maklumat berkenaan anti rasuah dalam kalangan ahli dan masyarakat secara amnya," katanya.

Beliau ditemui media selepas perlawanan bola sepak persahabatan antara SPRM negeri dan Sabah Big Bikers Association (SBBA) di Stadium Likas di sini, malam tadi.


PENGARAH Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi (berdiri tengah) bergambar bersama ahli Persatuan Bermotosikal Berkuasa Tinggi Sabah (SBBA) sebelum perlawanan diantara SPRM Sabah menentang SBBA di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Sementara itu Presiden SBBA, Angus Wong, berkata perlawanan persahabatan bersama SPRM Sabah yang julung kali diadakan itu antara lain bertujuan merapatkan lagi hubungan ahli dengan agensi kerajaan serta badan berkanun.

"Walaupun perlawanan ini kali pertama diadakan namun keakraban antara kedua-dua pihak sudah lama terjalin dan kita beberapa kali mengadakan konvoi bermotosikal ke semua daerah bagi menyebarkan mesej berkaitan anti rasuah.

"Persatuan ini bukan sahaja mahu menghimpunan ahli yang memiliki motosikal berkuasa tinggi, malah mahu mendidik masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk kepentingan tidak menerima rasuah.

"Kita mahu masyarakat khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman mendapat input serta pengetahuan mengenai keburukan rasuah," katanya.

Berita Harian X