Sabtu, 7 Oktober 2017 | 7:05pm
PESERTA yang menyertai program Kelestarian Eko Pelancongan dan Record Dive longest Underwater Human Chai di Pulau Bidong. - Foto Aslina Abu Bakar
TIMBALAN Menteri MOTAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (dua kanan) ketika majlis penyerahan Malaysia Book Of Record sempena program Kelestarian Eko Pelancongan dan Record Dive longest Underwater Human Chain di Pulau Bidong. - Foto Aslina Abu Bakar

190 penyelam cipta rantaian terpanjang di Asia Tenggara

PERMAISURI: Rantaian sepanjang 200 meter yang dibentuk oleh 190 penyelam skuba, pada kedalaman 14 meter di dasar laut perairan Pulau Bidong di sini hari ini, berjaya mencipta rekod baharu, Malaysia Book of Record (MBOR) 2017.

Lebih menarik, penciptaan rekod pertama di Asia Tenggara itu turut disertai penyelam skuba daripada pelbagai lapisan umur termasuk wanita, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Program inisiatif Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Scubatex Resources Sdn Bhd, Muslimah Diver, Yayasan Coral Malaysia (YCM) dan MBOR.

Peserta acara itu, Ismadi Ismail dari Kak Limah Diver, menyifatkan inisiatif terbabit adalah usaha baik kementerian untuk memperkenalkan Pulau Bidong di mata dunia, memandang pulau terbabit menyimpan khazanah marin yang cukup indah.

"Untuk permulaan, memang kami mengalami kesukaran terutama untuk memastikan semua peserta berada dalam keadaan teratur, selain memastikan keselamatan peserta berada pada tahap yang baik namun kerjasama baik semua peserta berjaya merealisasikan hasrat kementerian mencipta rekod ini," katanya.

Peserta, Syarifah Aida Yusnita Syed Idrus, berkata dia berasa sangat teruja dan berbangga kerana dapat bersama sama penyelam skuba lain untuk mencipta rekod baharu ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata semua peserta mengambil masa selama 35 minit untuk mencipta rekod berkenaan selepas dua percubaan.

"Program ini bertujuan mempergiat program kelestarian eko pelancongan di pulau ini, selain usaha konservasi produk pelancongan bawah air melalui aktiviti rekreasi selam skuba di Pulau Bidong.

"Melalui aktiviti ini, kementerian berharap usaha mempergiat program kesedaran untuk pemuliharaan karang melalui kempen Penanaman Karang dan Go Green dapat diperhebatkan," katanya selepas Program Kelestarian Eko-pelancongan dan Record Dive Longest Underwatee Human Chain itu.

Selain mencipta MBOR, pelbagai aktiviti lain turut dijalankan bermula 6 hingga 9 Oktober itu antaranya taklimat, aktiviti propagasi karang, aktiviti skuba dan pembersihan di dasar laut serta pantai.

Mas Ermieyati berkata, pemilihan Pulau Bidong sebagai lokasi mencipta rekod berkenaan juga bertujuan memperkenal pulau itu sebagai destinasi pelancongan secara pergi-balik yang menjadi tapak peninggalan pelarian Vietnam.

"Selain itu, lokasi ini juga terkenal sebagai pusat penyelidikan dan pemuliharaan terumbu karang yang dijalankan oleh UMT dan YCM," katanya.

 

 

Berita Harian X