Jumaat, 6 Oktober 2017 | 5:50pm
Naib Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) (Haji dan Umrah), Ayob Mat Aris. - Foto Faris Saad

Jangan panik, ragu kredibiliti pakej umrah

KUALA LUMPUR: Umat Islam yang berhasrat mengerjakan umrah hujung tahun ini dinasihatkan tidak panik dan meragui kredibiliti syarikat pengendali umrah yang belum mendapat Lesen Khas Umrah (LKU) selepas ia dilaksanakan 1 Oktober lalu.

Naib Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) (Haji dan Umrah), Ayob Mat Aris, berkata kerajaan hanya meluluskan permohonan 25 syarikat pengendali sahaja ketika ini kerana mereka menepati syarat dan garis panduan ditetapkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Katanya, pihaknya yakin kerajaan akan meluluskan permohonan syarikat pengendali lain secara berperingkat apabila mereka menepati empat syarat iaitu, warganegara Malaysia dan beragama Islam, pengarah atau pemegang saham syarikat menghadiri Kursus Pengukuhan Pemantapan Umrah (KPPU).

Syarat lain ialah mempunyai perjanjian muasassah terkini atau perjanjian kerjasama dengan syarikat berstatus muasassah terkini serta menjadi ahli BUMITRA serta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang masih sah laku sekurang-kurangnya enam bulan.

"Kita dapat makluman ada jemaah yang sudah tempah pakej umrah menarik diri kerana bimbang syarikat pengendali mereka tidak mendapat lesen LKU.

"Perkara ini agak membebankan syarikat pengendali kerana mereka terpaksa tanggung kerugian kalau jemaah tarik diri pada saat-saat akhir," katanya kepada BH.

Sehubungan itu, Ayob menggesa syarikat pengendali umrah supaya segera mengemukakan permohonan LKU supaya tidak timbul kekeliruan dan dakwaan.

Katanya, syarikat pengendali perlu merebut peluang keemasan kerana kerajaan memberi kelonggaran mengecualikan bayaran fi proses dan fi Lesen Khas Umrah sehingga 31 Disember ini untuk menggalakkan lebih banyak syarikat berkelayakan memohon lesen segera.

Ayob juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli pakej umrah dengan 'orang tengah' atau syarikat pengendali umrah luar negara.

"Ada warganegara Bangladesh dan Pakistan yang bermastautin di Makkah menawarkan pakej umrah kepada rakyat di negara ini. Orang ramai jangan terpedaya dan pastikan mereka membeli pakej umrah dengan syarikat pengendali berlesen dan berdaftar dengan kementerian," katanya.

Berita Harian X