Khamis, 5 Oktober 2017 | 7:03pm
PERSATUAN Pelancongan dan Pelancongan Malaysia (MATTA) dengan bergambar bersama pemenang cabutan bertuah MATTA September 2017 di PWTC. - Foto Halim Salleh

Pegawai, pesara guru menang hadiah utama MATTA Fair

KUALA LUMPUR: Pegawai pemasaran syarikat swasta, Teh Ai Loon dan pesara guru, Azimah Zakaria, masing-masing menerima hadiah utama cabutan bertuah MATTA Fair September 2017 di sini, hari ini.

Ai Loon, 41, memenangi pakej pelancongan lima hari empat malam berserta tajaan tiket kelas ekonomi Emirates Superjet dan hotel untuk kategori cabutan bertuah antarabangsa manakala Azimah, 62, membawa pulang baucar pelancongan RM5,000 kategori domestik.

Selain itu, seramai 24 pemenang lain kategori antarabangsa masing-masing membawa pulang hadiah antaranya tiket kelas ekonomi syarikat penerbangan merangkumi Emirates, Air Asia, Garuda, Cathay Pacific dan Ethiopian, ke destinasi pelancongan terkenal seperti London, Amsterdam, Paris serta Croatia, selain baucar kad kredit RM1,000.

Sementara itu, 21 pemenang kategori domestik masing-masing membawa pulang hadiah seperti baucar pelancongan RM3,000 dan RM1,000, tiket penerbangan Firefly dan beg pelancongan American Tourister.

Hadiah disampaikan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk KL Tan; Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng dan wakil penaja.

Sebanyak 25,624 penyertaan peraduan pembelian diterima untuk kategori domestik dan 142,471 kategori antarabangsa.

Ia menyaksikan orang ramai membelanjakan RM47.5 juta bagi menyertai peraduan berkenaan.

Sementara itu, Ai Loon yang kali pertama berbelanja di MATTA Fair, terkejut apabila diumumkan pemenang utama kategori antarabangsa dan berhasrat berkongsi kejayaan itu dengan ibunya.

"Dubai antara destinasi ingin saya lawati dan akan berkongsi kemenangan ini dengan ibu, Lim Ming Yoke.

"Ini kali pertama saya berbelanja di MATTA Fair dengan membelanjakan RM6,000 untuk pakej percutian ke Taiwan dan Paris," katanya.

Azimah berhasrat menggunakan baucar dimenanginya untuk ke London berikutan anaknya turut memenangi tiket peraduan ke Liga Bola Sepak Inggeris (EPL) di London anjuran syarikat swasta.

"Alhamdulillah, memang hasrat saya melancong di dalam dan luar negara. Saya dan keluarga dan membelanjakan RM4,000 ketika MATTA Fair, baru-baru ini.

"Mungkin saya boleh gunakan baucar ini untuk menampung sebahagian perbelanjaan kami sekeluarga ke London," katanya.

Berita Harian X