Khamis, 5 Oktober 2017 | 6:40pm
PRESIDEN Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk KL Tan (dua kiri) bergambar bersama pemenang pada majlis penyampaian hadiah kepada 47 pemenang bertuah cabutan MATTA Fair 2017 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto HalimSalleh

MATTA teliti syarat Lesen Khas Umrah

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menerima pelaksanaan Lesen Khas Umrah (LKU) tetapi akan meneliti semula terma dan syaratnya.

Presidennya, Datuk KL Tan, berkata pihaknya juga akan meneliti mekanisme LKU sebelum membuat keputusan mengenakan syarat tambahan kepada syarikat pengendali atau operator pelancongan yang menyertai MATTA Fair dua kali setiap tahun.

Katanya, dianggarkan 51 pusat pameran membabitkan lebih 30 syarikat pengendali dan operator pelancongan berlesen dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) menawarkan pakej umrah ketika MATTA Fair pada Mac dan September lalu.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung isu LKU dalam masa terdekat. Isu ini sangat sensitif dan kemungkinan ada keputusan awal dikeluarkan Isnin ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah kepada 47 pemenang bertuah cabutan MATTA Fair 2017 di sini, hari ini.

Tan turut menasihatkan orang ramai membeli pakej umrah dengan agensi pelancongan atau syarikat pengendali pelancongan berlesen dan berdaftar dengan kementerian.

Beliau turut memberi amaran kepada syarikat pengendali pelancongan supaya tidak menggunakan agama untuk menipu orang ramai.

"Jangan gunakan agama untuk melakukan penipuan, khususnya membabitkan pakej umrah. Sehingga hari ini, hampir 250,000 individu ditipu seperti pakej umrah tidak wujud, tiada nama dalam senarai penerbangan.

"Justeru, kita minta orang ramai lebih berhati-hati membeli pakej dan mengikut harga minimum RM4,900 untuk pakej ekonomi 12 hari 10 malam seperti ditetapkan kerajaan.

"Harga pakej yang ditawarkan di bawah harga pasaran ditetapkan kerajaan mungkin penipuan. Elakkan membeli dengan agensi yang menawarkan pakej seumpamanya," katanya.

Berita Harian X