Rabu, 4 Oktober 2017 | 2:57pm
DATUK Seri Dr Hilmi Yahaya berbual bersama penerima organ selepas berucap merasmikan forum "Derma Organ : Ada Aku Kisah" di Putrajaya.- Foto Mohd Fadli Hamzah

Hanya 1.2 peratus rakyat jadi penderma organ

PUTRAJAYA: Seramai 394,809 rakyat Malaysia berikrar untuk menderma organ setakat akhir Ogos lalu, iaitu kira-kira 1.2 peratus daripada jumlah penduduk.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata jumlah itu ditakrifkan sebagai amat rendah.

"Kekurangan jumlah penderma organ ini disebabkan kekangan ahli keluarga yang tidak memberi kebenaran kepada pihak hospital untuk mengambil organ apabila penderma meninggal dunia.

"Di samping itu, wujud salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap isu pendermaan organ," katanya selepas merasmikan Forum Derma Organ: Ada Aku Kisah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar dan Ketua Pengurus Klinikal, Pusat Sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur, Dr Omar Sulaiman.

Forum anjuran Unit Perkhidmatan Transplantasi, Bahagian Perkembangan Perubatan dengan kerjasama Pusat Sumber Transplan Nasional itu adalah sempena Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2017 yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun.

Dr Hilmi berkata, pendermaan organ terbahagi kepada dua iaitu penderma masih hidup dan mati, di mana pihak kementeriannya sedang berusaha mempertingkat kempen pendermaan organ khususnya kepada golongan muda kerana mereka lebih faham isu ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan mempunyai tiga pusat pemindahan organ dengan bidang kepakaran masing-masing iaitu Hospital Kuala Lumpur (pemindahan buah pinggang), Hospital Selayang (buah pinggang dan hati) serta Institut Jantung Negara (jantung dan paru-paru).

110 dibaca
Berita Harian X