Isnin, 2 Oktober 2017 | 3:36pm

Felda DSaji buka dapur katering di Makkah

KUALA LUMPUR: Felda Middle East Sdn Bhd (FELME) yang beroperasi di Arab Saudi dengan jenama Felda DSaji, membuka sebuah dapur katering baru di Bathaq Quraish, Makkah, dengan nama 'DSaji Malaysian Kitchen'.

Pembukaan dapur itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, sempena lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi selama empat hari bermula 27 September lalu.

Dapur katering yang mampu membekalkan produksi sajian katering dengan kapasiti maksimum sehingga 20,000 orang itu menyediakan makanan Malaysia serta juadah cita rasa Asia dan antarabangsa kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif FELME, Syed Fadil Syed Sofi, berkata pembukaan dapur katering baharu itu adalah satu lagi kejayaan selepas premis medan selera di Makkah dan restoran Malaysia di Jeddah.

"Unit katering FELME sudah mula beroperasi pada tahun 2011 menggunakan dapur kecil dengan kapasiti maksimum 400 orang bekalan sajian sehari.

"Memandangkan perniagaan katering amat berpotensi di Makkah yang menerima jutaan jemaah setahun, maka pengurusan telah membuat keputusan untuk memperhebatkan unit katering dengan harapan dapat membekalkan makanan Malaysia dan Asia kepada lebih ramai jemaah sama ada pada musim umrah ataupun musim haji," katanya dalam satu kenyataan di keluarkan di sini, hari ini.

Syed Fadil berkata, FELME juga akan meningkatkan pemasaran bekalan makanan di institusi pengajian tinggi di Makkah serta diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bertugas dalam projek Malaysia di tanah suci serta tawaran bagi memasuki pakej pembekalan makanan kepada muasasah haji terutamanya muasasah bahagian Asia Tenggara.

FELME mula beroperasi di Makkah pada pada 2008, dengan pembukaan premis makanan berkonsep medan selera di Menara Al Safwah, berhadapan Masjidil Haram yang menyediakan juadah popular di Malaysia .

Kini, premis itu beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu.

Pada 2015, FELME membuka sebuah Restoran Malaysia di bawah pengurusan kumpulan FELDA yang pertama di Jeddah, dengan kapasiti tempat duduk sehingga 100 orang.

Restoran itu menyediakan pelbagai juadah menu Malaysia dan Asia bagi memenuhi permintaan warga Malaysia yang berada di Arab Saudi serta jemaah Malaysia yang berkunjung ke Jeddah. Waktu operasi bagi restoran ini adalah bermula 1.00 petang (selepas zuhur) sehingga jam 11 malam.

49 dibaca
Berita Harian X