Ahad, 1 Oktober 2017 | 12:59pm
ABDUL Majid Abd Rahman, 43 menunjukkan sulaman manik karyanya sepanjang 17.8 meter selama 10 tahun ketika bertemu di rumahnya Kampung Baru Cherating. - Foto Muhd Asyraf Sawal
ABDUL Majid Abd Rahman, 43 menunjukkan sulaman manik karyanya sepanjang 17.8 meter selama 10 tahun ketika bertemu di rumahnya Kampung Baru Cherating. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Karya PMC diiktiraf sulaman manik terpanjang dunia

KUANTAN: Pengorbanan dan kesungguhan Abdul Majid Abdul Rahman menyulam manik sepanjang 17.8 meter sepanjang 10 tahun berbaloi apabila karyanya itu diangkat sebagai sulaman manik terpanjang di dunia oleh World Record Academy.

Abdul Majid, 57, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Majid Cherating (PMC) dalam kalangan masyarakat tempatan, menerima pengesahan daripada institusi berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Jumaat lalu menerusi kiriman e-mel.

Abdul Majid yang mempunyai galeri dan chalet di Kampung Baru Cherating, dekat sini, berkata dia gembira serta terharu selepas usaha kerasnya selama 10 tahun dalam menghasilkan sulaman menggabungkan 500,000 manik pelbagai unsur tempatan berkenaan menerima pengiktirafan di peringkat dunia.

Katanya, proses menghasilkannya melalui pelbagai cabaran dan dia sendiri hampir berputus asa kerana cubaannya meletakkan karya di peringkat antarabangsa menemui kegagalan termasuk ditolak permohonan oleh penganjur.

"Banyak masa dan wang saya peruntukkan untuk projek ini selepas berjaya mencipta rekod sulaman terpanjang di Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2005, ...saya buat penyelidikan selama 10 tahun dan satu tahun untuk menyulam.

"Setiap malam saya mengambil masa empat jam untuk menyulam tetapi bukan setiap hari kerana ada kalanya saya buntu serta tidak sihat, perlu ada inspirasi supaya proses penyulaman berjalan lancar," katanya ditemui di kediamannya di Kampung Baru Cherating, dekat sini, hari ini.

Abdul Majid yang berasal dari Besut, Terengganu sebelum berpindah ke Cherating, berkata antara proses ketat perlu dilaluinya adalah mendapatkan ukuran sebenar yang mana ukurannya dibuat oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

"Pihak penganjur mahu ia mendapat piawaian daripada pihak berwajib, saya tidak boleh mengukur sendiri kerana bimbang ada unsur tidak adil, ...maka saya panggil SIRIM yang mengesahkan ukuran berkenaan," katanya.

Dia berharap kejayaannya itu mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan berhasrat supaya Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dapat berangkat untuk menyerahkan sijil yang bakal dikeluarkan World Record Academy itu.

"Ia adalah satu kejayaan membanggakan khusus untuk Pahang dan saya berbesar hati sekiranya Sultan Pahang dapat berkenan menyampaikan sijil kepada saya.

"Sijil berkenaan belum dikeluarkan lagi dan saya hanya diberitahu menerusi e-mel oleh World Record Academy, saya perlu melakukan proses seterusnya bagi mendapatkan sijil berkenaan," katanya.

Pada 2005, Abdul Majid berjaya menghasilkan sulaman manik sepanjang 16 meter yang tersenarai dalam

MBOR sebagai sulaman manik paling panjang di Malaysia.

Berita Harian X