Sabtu, 30 September 2017 | 5:01pm
PELARIAN Rohingya bersesak-sesak untuk mendapatkan bantuan makanan setiap hari di kem tidak rasmi Balukhali. Proses pengagihan bantuan kini dikawal dan dipantau pihak tentera Bangladesh. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Dua lokasi tapak hospital medan Rohingya dikenal pasti

COX'S BAZAR: Dua lokasi di pinggir bandar Cox's Bazar dikenal pasti sesuai sebagai tapak hospital medan Malaysia bagi memberikan khidmat kesihatan kepada ribuan pelarian Rohingya.

Kedua-dua kawasan dengan keluasan minimum sebuah padang bola itu adalah tanah milik persendirian.

Ketua misi kemanusiaan Pasukan Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), Dr Basmullah Yusof, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Isnin ini.

Katanya, pelaksanaan hospital itu membabitkan kerjasama Kerajaan Bangladesh, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, PULSE dan agensi antarabangsa USAID.

IMARET diberikan mandat untuk memulakan kerja-kerja pembukaan hospital medan Malaysia itu selepas akses kesihatan menjadi antara isu kritikal di kem dan penempatan Rohingya di Bangladesh.

"Hospital medan untuk Rohingya dicadang untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan. Hospital medan diterajui KKM itu akan jadi misi pertama babitkan kerjasama kerajaan dan NGO Malaysia bergerak serentak," katanya kepada wartawan BH di sini.

Malaysia bercadang membuka hospital medan dalam usaha meringankan beban Bangladesh yang menerima lebih 480,000 etnik Rohingya sejak 25 Ogos lalu.

Pelarian etnik Rohingya lari ke negara itu berikutan kekejaman tentera Myanmar di utara Rakhine.

Malaysia antara dua negara yang menawarkan membuka hospital medan di wilayah Cox's Bazar untuk ribuan pelarian Rohingya selain Indonesia.

Dr Basmullah dalam misi bantuan kecemasan Rohingya anjuran Al-I'tisam Relief dan IMARET sejak 23 September lalu, juga meninjau lokasi sesuai untuk klinik bergerak.

"Kita bercadang beroperasi di kem pelarian Kutupalong dan Balukhali tetapi bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Presiden Al-I'tisam Relief, Mohd Shah Sapiei berkata misi kecemasan itu menyaksikan bantuan "shelter" diberi kepada pelarian Rohingya di Leda dan Musoni.

"Kita juga salurkan bantuan makanan (soup kitchen) 1,000 pelarian setiap hari selama seminggu," katanya.

Misi bantuan kecemasan itu turut disertai Dr Ahmad Ibrahim Ahmad Zainuddin dari IMARET dan Mohd Subari Jahaya (Al-I'tisam Relief).

Ketika ini, semua bantuan asing dikawal dan dipantau pihak tentera Bangladesh bagi menyeragamkan bantuan mengikut keperluan etnik Rohingya.

Berita Harian X