Jumaat, 29 September 2017 | 5:00pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kerajaan runding kos rawatan pesakit tak mampu - Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan menjadi orang tengah berunding dan menyelaras kos rawatan pesakit kurang berkemampuan yang dirujuk oleh hospital kerajaan ke pusat perubatan swasta bermula tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kerajaan akan berbincang dengan hospital dan klinik swasta mengenai kos rawatan untuk pesakit yang mampu ditanggung oleh kerajaan.

Ketika ini, katanya, kerajaan tidak memantau harga dan kos rawatan hospital swasta.

"Ia menyebabkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk tanggung kos rawatan pesakit kurang mampu," katanya berucap merasmikan Edisi Penyelidikan 4.0 Institut Jantung Negara (IJN) 2017 bertemakan 'The Way for Tomorrow's Progress', di sini hari ini.

Beliau berkata, IJN akan menjadi hospital swasta pertama berunding kos perkhidmatan rawatan dengan kerajaan.

Beliau memberi contoh, kos rawatan untuk pembedahan pintasan jantung adalah RM40,000, tapi kerajaan hanya bersetuju membayar RM20,000.

"Pesakit yang dirujuk melalui Projek Tabung Bantuan dari hospital kerajaan tidak perlu bayar apa-apa kerana kos ditanggung kerajaan," katanya.

Katanya, beliau sudah mengarahkan pegawai kementerian menjalankan rundingan dengan IJN sebelum pesakit menjalani perkhidmatan rawatan.

"Kita akan hantar pesakit, anda (IJN) rawat dan caj kos rawatan kepada kementerian. Sekiranya pesakit perlu buat pintasan, kementerian akan berunding dengan anda (IJN)," katanya.

Dr Subramaniam berkata, sistem berkenaan diamalkan di beberapa negara, antaranya Jepun yang mengadakan rundingan setiap dua tahun dengan sektor swasta.

"Ia untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam kepada rakyat tidak berkemampuan.

"Kementerian juga wajar melaksanakan rundingan sama dengan sektor swasta di negara ini setiap tahun," katanya.

Sementara itu, beliau menggesa IJN meneliti semula model perkhidmatan jangka panjang untuk tempoh 25 dan 35 tahun di institusi itu.

Beliau berkata, IJN perlu menambahbaik perkhidmatan mereka untuk mengekalkan kejayaan sebagai pusat tumpuan perkhidmatan kardiak.

"Ia juga untuk memacu kebolehan dalam inovasi, penyelidikan dan struktur baharu sebagai satu penanda aras kecemerlangan industri kesihatan.

"Ketika ini, Malaysia menjadi tumpuan dunia. Penjagaan kesihatan kita antara sektor terbaik di dunia.

"Ramai pelancong datang ke negara kita untuk mendapatkan kemudahan rawatan kesihatan, sekali gus menyaksikan peningkatan dalam sektor pelancongan kesihatan," katanya.

Berita Harian X