Khamis, 28 September 2017 | 12:59pm
PEMBUKAAN jajaran Tun Razak Link (TRL) Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE). - Foto Aswadi Alias

Jajaran TRL dibuka 5 petang ini

KUALA LUMPUR: Jajaran Tun Razak Link (TRL) yang dibuka sepenuhnya mula 5 petang ini dipercayai mampu mengurangkan aliran trafik sekitar ibu negara sekali gus memberi manfaat kepada lebih 25,000 warga kota.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilllah Yusof, berkata laluan sejauh 9 kilometer (km) itu adalah sebahagian daripada laluan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2.

 

Katanya, pembinaan Lebuh Raya DUKE fasa 2 itu dimulakan sejak Disember 2014 serta membabitkan kos RM1.183 bilion yang terbahagi kepada dua jajaran iaitu TRL dan Jajaran Sri Damasnara (SDL) sepanjang 7.4 km.

 

"TRL bermula di Jalan Tun Razak berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menghala ke utara melalui Jalan Pahang dan Jalan 9/48A untuk menghubungkan ke jajaran sedia ada Lebuh Raya DUKE fasa 1 serta Jalan Gombak.

 

"Jajaran ini mengandungi dua persimpangan bertingkat, dua pusingan U, empat tanjakan keluar masuk dan satu plaza tol iaitu Plaza Tol Sentul (Tambahan)," katanya pada Majlis Pembukaan TRL di Plaza Tol Sentul (Tambahan) di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, TRL dijangka dapat membantu menyelesaikan kesesakan lalu lintas di kawasan Jalan Tun Razak, bulatan Jalan Pahang dan persimpangan Jalan Duta.

 

Katanya, jajaran itu juga akan menjadi laluan alternatif kepada pengguna dari Jalan Tun Razak yang ingin terus ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

 

"TRL akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya khususnya di utara Kuala Lumpur terutamanya di Gombak, Jalan Genting Klang dan Bandar Baru Sentul.

 

"Pada 23 Mei lalu, sebahagian daripada laluan TRL sudah dibuka kepada pengguna jalan raya melalui pihak pelan pengurusan lalu lintas dan membuka lencongan dari Jalan Tun Razak menghala ke Lebuh Raya DUKE bagi membantu melancarkan trafik sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan.

 

"Bagi pembinaan jajaran SDL, ia kini berada dalam peringkat akhir dan dijangka akan dibuka dalam masa terdekat, selewatnya hujung tahun ini," katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Fadilllah memberitahu penggunaan teknologi pemantauan berfrekuensi radio (RFID) di plaza tol dijangka akan digunakan secara menyeluruh di seluruh negara menjelang 2020.

 

"Buat masa ini, kita masih dalam fasa projek pilot dan menggunakan sebanyak 8,000 kenderaan penguatkuasa untuk menguji keberkesanan sistem teknologi terbabit," katanya.

Info

Jajaran Tun Razak Link (TRL) 

- Pembinaan dimulakan sejak Disember 2014

- Sebahagian daripada projek pembinaan Lebuh Raya DUKE fasa 2.

- Sejauh 9km

- Dibuka bermula jam 5 petang hari ini

Berita Harian X