Rabu, 27 September 2017 | 10:42pm
YANG Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berucap pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bulanan MPK di Klang, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

MPK lulus festival makanan, minuman Jerman

KLANG: Penganjur festival makanan "Centro Mall German Food & Beverage Festival" masih perlu mendapatkan lesen daripada Pejabat Tanah dan Daerah Klang sekiranya berhasrat menghidangkan minuman keras dalam acara itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata pihaknya membenarkan penganjuran festival makanan itu selepas pihak penganjur mengikut syarat ditetapkan.

Sebelum ini, permohonan itu pernah ditolak berikutan beberapa syarat tidak diikuti.

"Kita benarkan penganjuran Festival Makanan ini yang akan dianjurkan pada 12 dan 13 Oktober depan dengan syarat utama tidak membenarkan umat Islam menyertainya.

"Antara syarat lain, penganjur perlu meminta lesen daripada Pejabat Tanah sekiranya menghidangkan minuman keras dan mendapat pengesahan daripada polis," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bulanan MPK, di sini, hari ini.

Mohamad Yasid berkata, penganjur akan dikenakan kompaun RM1,000 bagi setiap kesalahan sekiranya gagal mematuhi syarat.

"Selain itu, jika kita mengesan terdapat umat Islam dalam acara berkenaan, anggota penguatkuasa MPK yang memantau akan menahan dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan ketika dihubungi, berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan berhubung perkara itu.

"Buat masa ini, tiada sebarang permohonan diterima, namun sekiranya acara ini tetap diteruskan dan pihak menganjur melakukan kesalahan, tindakan undang-undang akan diambil.

"Kita perlu lihat daripada pelbagai aspek antaranya lokasi acara diadakan sama ada di padang atau bangunan. Bagaimanapun, kita perlu menunggu permohonan daripada penganjur terlebih dahulu," katanya.

Berita Harian X