Selasa, 26 September 2017 | 10:51pm
KETUA Pengarah NAHRIM, Datuk Dr Azuhan Mohamed. - Foto Aswadi Alias

Bandar bakal tenggelam, risiko tidak tangani hakisan

illahhafiz.abdul

KUALA LUMPUR: Beberapa bandar utama di pesisir pantai negara dijangka tenggelam menjelang tahun 2100 akibat kenaikan aras laut sehingga lebih satu meter jika langkah mengurangkan risiko hakisan serta kawalan ketat setiap aktiviti pembangunan di zon pantai tidak dimulakan kerajaan, mulai sekarang.

Ini berikutan pembangunan di zon pantai seperti penambahan infrastruktur dan pembangunan tanpa mengira kesan jangka panjang didapati sedang rancak berjalan di seluruh negara.

Seiring dengan pembangunan itu, kerajaan perlu mengutamakan beberapa perancangan seperti langkah mitigasi iaitu aktiviti mengurangi impak bencana dan langkah adaptasi iaitu usaha meningkatkan daya tahan sebelum zon pantai yang terbabit bakal berdepan kesan buruk pada masa depan.

Perancangan perlu dilaksanakan segera berikutan kajian kenaikan aras laut oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) menunjukkan beberapa lokasi di pesisir/zon pantai dijangka menerima tempias buruk akibat fenomena itu.


PEMBINAAN tembok pemecah ombak seperti di Kampung Sungai Baharu, Parit Buntar antara kaedah berkesan menghalang hakisan. - Foto Abdullah Yusof

Menerusi unjuran itu, Sabah khususnya di pantai timur negeri berkenaan seperti di kawasan berhampiran Tawau, air laut yang diramal naik 1.064 meter (m), Lahad Datu (1.013m) dan Sandakan (0.911m) dijangka paling teruk terjejas akibat fenomena alam itu.

Turut terjejas, kawasan pesisir pantai di Labuan (0.586m) dan pesisir pantai di Sarawak seperti di Bintulu (0.592m), Sibu (0.481m) dan Serian, 0.444m.

Di pantai timur Semenanjung pula, ia membabitkan kawasan pesisir pantai di Kelantan (0.361m), Dungun, Terengganu (0.326) dan Chukai (0.307m) manakala di pantai barat, pesisir pantai di Pulau Pinang dan Kedah (0.492m) serta Perak (0.499m) juga dijangka terjejas.

Ketua Pengarah NAHRIM, Datuk Dr Azuhan Mohamed, berkata kenaikan paras laut berlaku berikutan aktiviti pemanasan global dan jika itu terjadi, kawasan pantai akan ditenggelami air.

"Kesan peningkatan aras laut ini menyebabkan perubahan dinamik pantai yang mana akan berlaku perubahan kepada kelajuan arus, ketinggian ombak dan pasang surut, yang akan mengangkut sedimen di sepanjang pesisir yang boleh menyebabkan hakisan.


KAWASAN tanah milik penduduk yang terhakis di pesisir pantai Senggarang, Batu Pahat. - Foto Adi Safri

"Menerusi unjuran kajian kami, pada 2100 pesisir pantai di Sabah akan berlaku kenaikan satu meter aras laut berbanding hari ini dan kenaikan setengah meter aras laut di Semenanjung negara juga dijangka berlaku.

"Walaupun pantai kedua bakal wujud secara semula jadi, langkah mitigasi seperti mewujudkan benteng pemecah ombak dan benteng pantai mampu mengelakkan kesan yang lebih besar pada masa depan," katanya kepada BH.

Beliau berkata, impak hakisan pantai oleh kenaikan aras laut adalah pada skala kecil dan jangka panjang berbanding akibat aktiviti pembangunan di kawasan zon pantai yang tidak terkawal.

Ditanya aktiviti pembangunan di kawasan zon pantai, Azuhan berkata, langkah paling penting adalah mematuhi hasil dapatan kajian hidraulik berkaitan senario sebelum, semasa dan selepas pembinaan.

Mengambil contoh mengenai pemanjangan landasan lapangan terbang Terengganu, beliau berkata, kajian hidraulik sudah dilakukan oleh perunding luar negara tetapi langkah mitigasi iaitu menguatkan pantai tidak dilaksanakan sehingga menyebabkan hakisan teruk.


HAKISAN turut mengancam keselamatan pengguna laluan jalan utama di pesisir pantai Penggorak, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awan

"Disebabkan itulah kajian hidraulik diwajibkan sebelum pembangunan di zon pantai dilakukan, sama ada oleh NAHRIM atau perunding luar bertujuan mengelakkan kesan negatif seperti hakisan. Jika langkah ini tidak dilaksana, sampai bila pun masalah tidak berkesudahan," katanya.

Mengulas mengenai strategi terbaik bagi menangani masalah hakisan, beliau berkata, keberkesanan langkah berstruktur dan langkah tidak berstruktur adalah subjektif, tertakluk kepada proses hidrodinamik semula jadi, morfologi pantai dan pemilihan kaedah perlindungan.

"Pemilihan kaedah terbaik adalah berdasarkan hasil kajian hidraulik terperinci di kawasan terpilih yang akan mengurangkan impak hakisan dan biasanya langkah berstruktur dibina di kawasan pesat membangun serta bersifat jangka panjang manakala kejuruteraan tidak berstruktur pula biasanya bagi melindungi kawasan pelancongan.

"Saya ambil contoh langkah pencegahan di Belanda. Mereka mengumpulkan pasir dari laut dalam dan dikumpul di kawasan pantai, seterusnya berjaya mengelakkan hakisan. Langkah ini sudah dipelajari oleh negara tetapi tidak dipraktikkan, mungkin kerana kos tinggi," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak boleh bertindak sebagai penguat kuasa terhadap sebarang pembangunan di zon pantai di seluruh negara, sebaliknya hanya berfungsi menasihati pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini berikutan JPS adalah sebuah agensi teknikal yang menyediakan kepakaran kejuruteraan dan memberi cadangan terhadap sesebuah projek yang mahu dilaksanakan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Zon Pantai JPS, Datuk Kapten (B) Anuar Yahya, berkata JPS tidak boleh mengambil tindakan sendiri terhadap pemaju atau projek yang menyebabkan masalah seperti hakisan, tetapi mereka boleh memberi cadangan kepada kerajaan negeri.

"Kami adalah sebuah agensi teknikal dan dalam konteks ini, biasanya kami hanya menasihati kerajaan negeri manakala penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa tempatan," katanya kepada BH, mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembangunan seperti kerja-kerja menambak laut yang banyak menyebabkan pantai terhakis.

Anuar berkata, kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit setiap tahun untuk memulihkan zon pantai yang terjejas akibat hakisan.

Pada tempoh sama, katanya, sebanyak RM2.2 juta diperuntukkan di Johor, Melaka (RM1.4 juta), Pahang (RM1.84 juta), Kelantan (RM1.68 juta) dan RM1.17 juta di Terengganu.

Beliau turut mengesahkan, sebanyak 44 kawasan pantai termasuk pulau di seluruh negara dikenal pasti berlaku hakisan kritikal, yang direkod dalam kajian terbaharu.

Selain empat negeri iaitu Kelantan, Johor, Pahang dan Melaka, dua negeri yang turut kritikal mengalami hakisan adalah Terengganu dan Sarawak.

Katanya, selain punca semula jadi seperti ombak deras, hakisan di negara ini turut berlaku akibat pembangunan hartanah yang tidak mematuhi syarat serta aktiviti mengorek pasir tanpa kawalan.

"Jika tidak mematuhi syarat ditetapkan, hakisan akan berlaku serta-merta iaitu boleh terjadi dalam tempoh sebulan dua sahaja kerana ia membabitkan pergerakan pasir oleh arus laut.

"Sebagai contoh, kerja-kerja pembangunan perlu disiapkan dalam tempoh tertentu tetapi disebabkan dibangunkan secara fasa dan berhenti lama, ia akan memberi masalah kepada alam sekitar.

"Begitu juga berlaku dalam aktiviti melombong pasir, pelombong sepatutnya melombong jauh dari pantai iaitu di dasar laut, kira-kira tiga batu nautika dan tidak semua pasir di situ harus dikorek keluar," katanya.

Anuar berkata, setiap pembangunan di tebing dan pantai perlu melalui kajian hidraulik sebelum bermula dan jika kajian itu tidak dipatuhi, keseimbangan alam sekitar pasti akan terjejas.

"Jika kawasan itu membabitkan penempatan orang awam, mereka akan bersuara tetapi jika pihak yang tidak bersuara' seperti ikan, lumut, penyu, batu karang dan flora fauna yang lain pastinya, implikasi lebih besar akan timbul," katanya.

Berita Harian X