Isnin, 25 September 2017 | 5:31pm
TENGKU Abdullah (tengah) beramah mesra bersama tetamu pada majlis menghadap Pemangku Raja Pahang oleh Belia-Belia Tionghua, di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

Fahami Perlembagaan Persekutuan - Tengku Abdullah

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu belia daripada semua kaum memahami dengan jelas Perlembagaan Persekutuan demi menjamin perpaduan serta masa hadapan negara.

Tengku Abdullah bertitah, Malaysia berjaya sejak sekian lama kerana masyarakat majmuknya saling hormat dan memahami berikutan kewujudan sosial kontrak yang dihasilkan generasi terdahulu.

"Saya tahu semua yang ada ini terpelajar tetapi jangan lupa akar umbi dan persefahaman dicetuskan nenek moyang kita. Tidak dinafikan daripada semasa ke semasa kita ada masalah tetapi jangan disebabkannya akan merosakkan sistem negara.

"Di Pahang ini, kita ada Sultan dan Menteri Besar dan ia hendaklah dihormati," katanya ketika bertitah pada majlis menghadap Pemangku Raja Pahang oleh Belia-Belia Tionghua di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Pemuda Gabungan Persatuan Cina Pahang, Datuk Ong Chong Keng.

Tengku Abdullah turut meminta rakyat menunjukkan kesetiaan kepada negara termasuk menghormati institusi beraja bagi mengelakkan keadaan bercelaru dan mengekalkan keharmoniaan sedia ada.

"Kalau hormat raja, kita (raja) akan hormat rakyat. Kamu beri idea dan kita buat kajian mengenainya.

"Macam hari ini, saya dengar pelbagai cadangan daripada belia Tionghua dan saya hendak cadangkan kita wujudkan majlis ekonomi negeri membabitkan semua kaum supaya boleh duduk semeja dan wujudkan ekonomi ikut acuan Pahang memandangkan banyak sumber asli di sini," titahnya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah bertitah, baginda akan mengadakan lebih banyak sesi dialog dan pertemuan dengan kaum lain seperti Cina, India dan Orang Asli pada masa akan datang bagi mendengar pandangan mereka.

"Saya sendiri minta sesi hari ini diadakan supaya lebih rapat dengan belia Cina. Banyak program saya terdahulu dengan orang Melayu. Sudah tiba masa saya berjumpa lebih kerap dengan orang Cina, India, Orang Asli dan lain-lain. Ini kehendak ikhlas saya," titahnya.

51 dibaca
Berita Harian X