Ahad, 24 September 2017 | 9:00am

Kunjungi hari terakhir temuduga SL1M hari ini

TANJUNG MALIM: Inisiatif Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) berjaya membantu 138,000 graduan mendapatkan pekerjaan sejak dilancarkan pada 2011.

Menteri di JPM, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata inisiatif itu membantu graduan terutama dalam melatih mereka supaya benar-benar bersedia melangkah ke alam pekerjaan dengan kemahiran mustahak seperti komunikasi, berfikiran kritis dan kreatif, penyesuaian dalam organisasi, nilai ke arah profesional dan penampilan korporat.

Justeru, katanya, graduan atau pencari kerja yang masih gagal mendapat pekerjaan diminta tidak berputus asa, sebaliknya perlu merebut peluang mengunjungi Program Temuduga Terbuka SL1M yang kini diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hingga esok.

Beliau ditemui ketika meninjau program yang diadakan bermula semalam hingga hari ini.

Abdul Rahman berkata, walaupun kadar pengangguran negara masih terkawal, iaitu di tahap 3.5 peratus daripada 15 juta tenaga buruh, isu pengangguran masih hangat dibincangkan terutama dalam kalangan graduan.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan yang paling popular dalam membantu graduan mencari pekerjaan ialah menerusi program SL1M, iaitu platform untuk graduan menjalani latihan pekerjaan dan merasai pengalaman bekerja sebenar.

"Mungkin ada antara kita yang hampir berputus asa setelah berkali-kali gagal dipanggil temuduga walaupun sudah menghantar ratusan resume ke laman web terkenal.

"Jangan berhenti mencuba, mungkin rezeki anda ada program SL1M. Gunalah peluang ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Terbuka SL1M peringkat Zon Barat semalam.


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan (kiri), Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) dan Ketua Sekretariat SL1M Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Norashikin Ismail bersama pemenang cabutan bertuah di Majlis Perasmian Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. - Foto Salhani Ibrahim

Program itu dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Abdul Rahman berkata, lebih 60 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil bahagian dengan menawarkan 12,000 jawatan kosong pada program peringkat zon barat itu.

Katanya, kajian Bank Negara Malaysia mendapati kebanyakan graduan lulusan ijazah sarjana muda di negara ini mempunyai kekurangan dalam kemahiran utama seperti komunikasi, berfikiran secara kritis dan kreatif, penyesuaian dalam organisasi, nilai ke arah profesional dan penampilan korporat.

Sehubungan itu, katanya, SL1M ialah langkah intervensi kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri sentiasa mengadakan program kerjaya bagi membantu rakyat mendapat pekerjaan.

"Setiap tahun kita adakan Karnival Kerjaya untuk rakyat Perak dan kita bawakan syarikat GLC negeri dan persekutuan pada program ini.

"Melalui Karnival Kerjaya yang dibawa oleh Pusat Kerjaya Aman Jaya sebanyak 40,000 peluang pekerjaan dapat dibawa ke negeri ini," katanya.

ORANG ramai di Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. - Foto Salhani Ibrahim
ORANG ramai di Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. - Foto Salhani Ibrahim
Berita Harian X