Ahad, 24 September 2017 | 7:39am
JURUTERBANG, Mejar Patricia Yapp Syau Yin pada Program bersama Media sempena sambutan Hari TUDM ke-59 di Pangkalan Udara Labuan. - Foto Syarafiq Abd Samad
KETUA Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyampaikan Anugerah Wanita Cemerlang kepada Mejer Patricia Yapp Syau Yin (TUDM) pada Sambutan Hari Wanita peringkat negeri, di Magellan Sutera, Kota Kinabalu. Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad Ayid (dua dari kiri). - Foto Izhari Ariffin.

Patricia wanita Sandakan terbangkan MiG-29

KOTA KINABALU: Minat saja tak cukup. Itu nasihat Mejar Patricia Yapp Syau Yin, kepada wanita muda yang bercita-cita menjadi juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sebaliknya, juruterbang wanita pertama yang mengendalikan pesawat pejuang MiG-29 itu berkata, keberanian dan sikap tidak berputus asa juga amat penting untuk menceburi kerjaya mencabar yang dimonopoli golongan lelaki itu.

Wanita berusia 41 tahun berasal dari Sandakan itu berkata, walaupun fizikal wanita lebih kecil berbanding lelaki, ia bukan penghalang untuk menceburi kerjaya penerbangan asalkan mempunyai minat, berani dan tidak putus asa.

"Minat dan jangan pernah berputus asa adalah kunci utama bagi wanita khususnya golongan muda yang mahu menceburi bidang penerbangan ketenteraan.

"Walaupun kerjaya juruterbang pesawat tempur bukan mudah, minat mendalam menjadikan ia pekerjaan menyeronokkan," katanya yang diumumkan penerima Anugerah Wanita Cemerlang sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah, malam tadi.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan turut dihadiri isterinya yang juga Yang di-Pertua Badan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BAKISA) Sabah, Puan Sri Faridah Tussin serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Felicia bertugas selama 20 tahun dalam TUDM dan berpengalaman sebagai juruterbang pesawat pejuang selama lima tahun dari 2003 hingga 2007 sebelum ditugaskan sebagai jurulatih pesawat pelatih Pilatus PC-7 MKII di Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah.

Mengulas lanjut, ibu kepada dua anak itu berkata, setiap wanita tidak harus membiarkan diri berada di tahap selesa, sebaliknya perlu keluar daripada ruang kemampuan sedia ada dan mencuba lebih banyak perkara baharu

Mengenai anugerah itu, beliau menganggap ia sebagai pembakar semangat kepada wanita lain untuk berjaya dalam karier masing-masing.

"Anugerah ini adalah amanah kerana saya mewakili keseluruhan golongan wanita khususnya di negeri ini.

"Saya berharap lebih ramai wanita berjaya dalam bidang diceburi. Buktikan wanita boleh berdikari dan mampu mengharumkan nama negeri mahupun negara di peringkat tertinggi," katanya.

Turut menerima anugerah ialah Bekas Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Mariati Rober (Anugerah Wanita Terbilang), Usahawan Wanita, Sahrah Asor (Anugerah Usahawan Wanita Harapan) dan Marinah Harris Embiricos.

498 dibaca
Berita Harian X