Sabtu, 23 September 2017 | 2:46pm
KETUA Setiausaha Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia (MOA), Datuk Seri Dr. Ismail Bakar. - Foto Azhar Ramli

500,000 pengunjung di HPPNK 2017

SHAH ALAM: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensasarkan 500,000 pengunjung ke Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 minggu depan.

Program yang bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu akan berlangsung selama empat hari bermula 28 September sehingga 1 Oktober ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berkata ia platform bagi menghargai pembabitan pelbagai pihak dalam penyediaan makanan di semua peringkat termasuk petani, peladang, penternak dan nelayan serta mereka yang memproses, memasak dan menghidangkan makanan.

"Banyak aktiviti sempena HPPNK 2017 ini terutama berkait dengan agromakanan. Seperti sedia maklum, kementerian bertanggungjawab membangunkan industri agromakanan, jadi kali ini ada program baharu iaitu 'Malaysia Food Festival'.

"Dengan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita', pengunjung berpeluang menerokai dunia makanan, 'Dari Ladang dan Lautan ke Meja Hidangan'.

"Selain itu, banyak aktiviti berkaitan penternakan, perikanan dan perladangan disediakan, jadi kami berharap peminat agromakanan, penggiat dalam bidang pertanian, peminat buah-buahan tidak melepaskan peluang berkunjung ke HPPNK 2017 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di program Agro Run 2017 yang dirasmikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) di sini, hari ini.

Ismail turut mengiringi Tengku Amir melawat sekitar TBNSA dengan menaiki kenderaan pelbagai permukaan (ATV) iaitu laman sawah padi, Mini Zoo TBNSA, tempat aktiviti berkuda serta tempat pengunjung melakukan aktiviti 'flying fox' selain lawatan ke gerai pameran.

Ismail berkata, Agro Run 2017 juga antara pengisian bagi mempromosikan HPPNK 2017 kepada orang ramai, bukan sahaja 1,200 peserta larian sebaliknya menarik pengunjung yang beriadah di TBNSA hari ini.

"Agro Run 2017 ini menggalakkan orang ramai terbabit secara langsung dalam sektor pertanian khususnya golongan belia.

"Kerjasama strategik antara agensi dan jabatan di bawah MOA diharap dapat meningkatkan momentum pembabitan teknologi dan inovasi dalam semua sektor bagi menjamin pengeluaran bekalan makanan dan pertanian negara," katanya.

Difahamkan, penganjur akan menyediakan kemudahan orang awam seperti surau, tandas, kaunter informasi serta perkhidmatan bagi orang kelainan upaya (OKU) selain 5,000 tempat letak kereta dan tram untuk membawa pengunjung ke tapak pameran dan jualan.

Pada masa sama, semua 600 gerai pameran dan jualan HPPNK 2017 dalam kawasan seluas 80,000 meter persegi itu sudah habis ditempah.

Berita Harian X