Jumaat, 22 September 2017 | 3:23pm
AZZRULKHAN Hasrullah Matsah bersama rakan di Bukit Broga.- Foto Ihsan Azzrulkhan Hasrullah Matsah

Cacat tak halang penuntut UIAM tawan gunung

SEREMBAN: Kekurangan diri bukan halangan untuk penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azzrulkhan Hasrullah Matsah, 25, aktif dalam aktiviti mendaki tanah tinggi.

Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana penyakit polio, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa itu sudah mendaki lebih 30 bukit dan gunung di negara ini.

Dia yang mesra dipanggil Adam, hanya menggunakan kekuatan kedua-dua tangan, sambil merangkak untuk sampai ke setiap puncak bukit atau gunung yang didaki.


AZZRULKHAN bersama rakan pengajian ketika di Bukit Tabur. - Foto Ihsan pembaca

Katanya, sejak di sekolah rendah, dia memendam hasrat untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak sama seperti adik-beradiknya yang aktif bersukan.

"Apabila melihat rakan berkongsi gambar mereka di puncak bukit dan gunung melalui Facebook, keinginan saya semakin membuak-buak.

"Pada 2014, Bukit Broga menjadi lokasi pertama saya mendaki. Sebaik selesai mendaki, saya terus memberitahu ibu dan tak sangka dia memahami, menyokong dan sentiasa memberi kata semangat," katanya.

Anak keempat daripada sembilan beradik berasal dari Kuching, Sarawak itu, berkata sejak itu dia semakin bersemangat dan akan melakukan aktiviti berkenaan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Ketika ini, dia giat menjalani latihan sebagai persediaan untuk menawan Gunung Everest yang dirancang pada Mac ini.


Azzrulkhan Hasrullah Matsah. - Foto Shiraz Yasmine Ali

"Saya berharap latihan mingguan mencukupi bagi mengelak sebarang masalah ketika mendaki Gunung Everest nanti," katanya yang berjaya menawan Gunung Kinabalu tahun lalu.

Katanya, aktiviti yang dilakukan itu bukan untuk mendapat pujian atau sanjungan, sebaliknya untuk kepuasan diri dan mungkin menjadi dorongan kepada OKU lain.

25 dibaca
Berita Harian X