Khamis, 21 September 2017 | 8:20pm
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. - Foto fail NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

'Jangan ada lagi duka di maahad tahfiz'

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berharap tiada lagi peristiwa duka berlaku di mana-mana maahad tahfiz di negara ini, terutama yang membabitkan kehilangan nyawa.

Selain kes buli, titah baginda, perlakuan seperti khianat, penipuan, penyelewengan, pergaduhan dan kecuaian sehingga meragut nyawa harus dihindari.

Baginda bertitah demikian ketika singgah sempena program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Bilangan 54/2017 di Madrasah Miftahul Hidayah di sini, petang tadi.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs, bertitah maahad tahfiz di Perlis boleh menjadi contoh bagi institusi sama di tempat lain, sama ada dari aspek pengurusan, tadbir urus dan kurikulum cemerlang, kebolehpasaran pelajar serta persekitaran kondusif.

"Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) menyusun atur sistem penarafan bintang sebagai penilaian kepada institusi di negeri ini yang akan menjadi kayu pengukur tahap kepatuhan maahad tahfiz terhadap standard dan kualiti ditentukan.

"Aspek keseimbangan dalam penyediaan kurikulum, infrastruktur dan prasarana perlu dititikberatkan supaya kebajikan pelajar terbela," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, usaha melengkapi semua pelajar dan warga maahad tahfiz dengan latihan untuk menghadapi saat getir seperti kebakaran, bencana banjir, ribut dan lain-lain situasi kecemasan dianggap sebagai keperluan.

"Selain aspek keselamatan, masyarakat perlu memberi sokongan padu dalam memastikan institusi maahad tahfiz terus subur seiring gelombang perubahan pendidikan semasa.

"Di Perlis, semua maahad tahfiz tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Perlis 1988 dan Jabatan Mufti Negeri Perlis sentiasa proaktif memberi pandangan serta saranan ke arah memastikan pegangan dan dasar maahad tahfiz di negeri ini seiring ahli Sunnah Wal Jamaah.

"MAIPs sedia memberi bantuan seperti geran tahunan menerusi peruntukan 'asnaf fisabilillah' sebanyak RM4,785,000 kepada institusi pendidikan Islam termasuk maahad tahfiz yang berdaftar dengan pihak JAIPs," titah baginda.

Berita Harian X