Isnin, 18 September 2017 | 3:08pm
ORANG ramai hadir melawat kubur 11 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak (Taman Selaseh), Batu Caves. - Foto Salhani Ibrahim

Orang ramai anggap arwah seperti keluarga

KUALA LUMPUR: Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Ujung, di sini yang meragut 23 nyawa bukan hanya meninggalkan kesan mendalam buat keluarga mangsa, malah turut menarik simpati orang ramai.

Selain pusat tahfiz terbabit, Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, di Taman Selasih, Gombak yang menempatkan 12 pusara mangsa tragedi itu juga, terus dikunjungi orang ramai.

Seorang penjaga tanah perkuburan berkenaan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, berkata sejak semua mangsa tragedi itu dikebumikan di sini Jumaat lalu, orang ramai mengambil peluang menziarahi pusaranya.

Beliau berkata, sejak Sabtu lalu, dianggarkan sekitar 600 hingga 700 orang akan hadir menziarahi kubur mangsa tragedi tahfiz itu setiap hari.

"Kebiasaannya mereka datang selepas waktu asar bermula jam 4.30 petang hingga jam 7 malam. Berdasarkan perbualan saya dengan mereka, sebahagian sereka saudara terdekat, ada juga rakan arwah.

"Malah, ada sebahagiannya bukan berasal dari kawasan dan daerah ini. Dari Shah Alam ada, Rawang dan Sungai Buloh. Ada juga guru-guru sekolah dan pekerja swasta yang datang secara berkumpulan," katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berkata, kawasan perkuburan yang mampu menampung kira-kira 13,000 pusara itu mula dibuka pada jam 7 pagi sehingga waktu maghrib.

"Selepas itu, kita akan tutup bagi mengelakkan kawasan ini diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab atau binatang seperti anjing," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung berasal dari Rawang, Amir Ali Mohd Harip, 39, berkata kejadian itu menyentuh hati masyarakat, apatah lagi ia membabitkan kanak-kanak dan remaja.

"Kita rasa mereka seperti anak-anak kita sendiri. Jadi simpati dan rasa hiba itu saya boleh rasakan sangat menebal dalam hati kita semua," kata ahli perniagaan ini yang hadir seorang diri ke pusara terbabit.

Beliau berkata, walaupun tiada pertalian keluarga dengan semua mangsa, namun kehadirannya ke pusara bagi menunjukkan rasa simpati terhadap mereka selain berdoa supaya mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Amir juga kesal dengan sikap remaja yang terbabit membakar pusta tahfiz berkenaan dan menyifatkan tindakan mereka sebagai keterlaluan dan tidak masuk akal.

"Sedih bila memikirkan mengapa masih ada lagi remaja yang memiliki jiwa seumpama itu.

"Hanya kerana hal kecil, tapi boleh membawa kepada membunuh," katanya sambil memaklumkan akan berkunjung ke pusat tahfiz berkenaan bagi menyampaikan sumbangan peribadi.

Berita Harian X