Jumaat, 15 September 2017 | 6:46pm
ANGGOTA Bomba meredah banjir di Kampung Pulau Tengah untuk memindahkan mangsa. - Foto Omar Osman

Lebih 500 mangsa banjir di Kedah

SUNGAI PETANI: Kira-kira 145 keluarga membabitkan 569 mangsa terjejas akibat banjir di Kuala Muda setakat jam 4 petang ini, susulan hujan lebat sejak semalam.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad, berkata kawasan terjejas adalah Kampung Sungai Bongkok, Kampung Kepala Bukit, Kampung Padang Regent, Kampung Sungai Badak dan Kampung Dakwah.

Turut terjejas, Kampung Batu Lima, Kampung Paya Suri, Kampung Kilang Makau, Kampung Haji Ngah dan Kampung Lombong.

Beliau berkata, sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Surau Kampung Tengah, Kampung Dakwah di sini dengan menempatkan 41 mangsa membabitkan 10 keluarga.

"Setakat jam 4 petang tadi, sebuah pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan 41 mangsa daripada 10 keluarga dari Kampung Dakwah.

"Kita akan terus membuat pemantauan berterusan memandangkan bilangan mangsa terjejas semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 30 anggota APM terbabit operasi berkenaan bersama agensi lain.

Sementara itu di Langkawi, sekurang-kurangnya 20 kediaman penduduk dari tujuh kampung dan enam jalan utama sekitar daerah ini terjejas apabila dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak malam kelmarin.

Antara kediaman penduduk yang terjejas membabitkan Kampung Bayas, Sungai Menghulu, Syed Nahar, Kedawang, Belak, Tanjung apabila dinaiki air setinggi antara 0.3 meter hingga 0.5 meter.

Tinjauan mendapati, sekurang-kurangnya enam jalan utama termasuk Jalan Kuah-Padang Matsirat (Kampung Bayas), Kampung Yoi, Chandek Kura, Kedawang, Mata Air dan Lebuh Raya Langkawi turut mengalami gangguan lalu lintas lebih empat jam berikutan dinaiki air.

Pegawai Daerah Langkawi yang juga Pengerusi Bencana Banjir Daerah Langkawi, Isahak Murat berkata, Bilik Gerakan Banjir Daerah Langkawi (BGBDL) mula dibuka seawal jam 7 pagi tadi bagi mengumpul maklumat dan merancang bantuan kecemasan kepada mangsa.

"Selain beberapa jalan terjejas akibat banjir kilat, pasukan keselamatan turut menerima laporan jalan menghala ke Gunung Raya tidak boleh dilalui akibat pokok tumbang, " katanya.

36 dibaca
Berita Harian X