Selasa, 12 September 2017 | 10:13pm

KMJ 2017 tutup tirai

KULAI: Selepas empat hari berlangsung penuh meriah, 10 kereta roda tiga Morgan milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar 'berhenti' beraksi apabila Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 menutup tirainya secara rasmi, hari ini.

Sultan Ibrahim bersama rombongan KMJ 2017 berangkat tiba di Hutan Bandar, Bandar Putra, di sini, pada jam 4 petang, yang juga menjadi lokasi terakhir jelajah sejauh 807 kilometer, selain tempat berlangsungnya majlis penutup acara.

Tuanku berangkat tiba di lokasi terakhir kembara dengan memandu kereta roda tiga Morgan 'kala jengking' berwarna hijau miliknya.


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din semasa majlis Penutup Kembara Mahkota Johor 2017 di Hutan Bandar Putra, Kulai. Foto NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bergambar bersama peserta rombongan dan sekretariat Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 pada majlis penutup jelajah itu di Hutan Bandar, Bandar Putra, Kulai. - Foto NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

Turut mengiringi baginda ialah Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abd Rahim Ramli dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata KMJ meninggalkan kepada rakyat negeri itu tiga mesej penting yang harus dihayati dan dibanggakan semua.

Katanya, pertama, KMJ kini menjadi satu identiti besar negeri dan Bangsa Johor kerana ia satu-satunya acara tahunan tunggal yang tidak ada di mana-mana negeri lain di Malaysia.

"Kedua, KMJ adalah antara satu cara bagaimana agenda pembangunan Johor sentiasa dilakukan secara bersama-sama.


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang memandu kereta beroda tiga Morgan melambai kepada rakyat ketika tiba di Hutan Bandar Putra semasa majlis Penutup Kembara Mahkota Johor 2017 di Hutan Bandar Putra, Kulai. - Foto NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

"Seperti yang pernah saya tegaskan, banyak sekali agenda pembangunan negeri ini yang dilakukan hasil sentuhan, ilham dan saranan Tuanku sendiri.

"Ketiga, KMJ ini menjadi peringatan kepada seluruh Bangsa Johor betapa bertuahnya kita dinaungi sultan yang berjiwa rakyat.

"Kesanggupan Tuanku dah kerabat keluarga Diraja untuk bercemar duli dan menjenguk sendiri rakyat di segenap pelusuk negeri, pada setiap tahun, tanpa gagal, adalah kemuncak keprihatinan dan kasih yang tidak bertepi," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakil rasmi, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Md Jais Jais pada majlis penutup KMJ 2017.

Berita Harian X