Selasa, 12 September 2017 | 4:14pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melihat penanaman pokok nadir dan diiringi Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab. Han Ramin (dua dari kanan) ketika konvoi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 singgah di Taman Botani Seri Medan, Batu Pahat.

KMJ 2017: 500 pokok nadir ditanam hari terakhir

BATU PAHAT: Sebanyak 500 batang pokok nadir terdiri daripada 13 spesies ditanam di Taman Botani Seri Medan di sini, hari ini sempena hari terakhir Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017.

Antara spesis pokok nadir yang ditanam serentak di kawasan rekreasi termasuk jering, sentul, mentega, putat dan linjau.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyempurnakan acara simbolik penanaman pokok nadir di taman yang sebelum ini adalah kawasan perlombongan bijih besi pada tahun 1912 hingga 1984.

Ketibaan Sultan Ibrahim diiringi Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Selesai program berkenaan Sultan Ibrahim bersama rombongan singgah di dua perhentian iaitu Dataran Datuk Sukiman Simpang Parit Botak di sini untuk beristirehat.

Jelajah diteruskan ke perhentian seterusnya di Kampung Permatang Duku di Pontian sebelum berhenti untuk majlis santapan makan tengah hari di Dewan Orang Ramai, Ayer Baloi di Pontian.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Selesai santapan tengah hari, Sultan Ibrahim meneruskan perjalanan ke Dewan Semai Bakti FELDA Bukit Batu di Kulai sebelum menamatkan jelajah di Hutan Bandar, Bandar Putra, Kulai bagi acara penutup KMJ 2017.

Berita Harian X