Selasa, 12 September 2017 | 11:55am

Pengembara Amerika nyaris karam

LIMBANG: Tekad pengembara Amerika Syarikat berusia 71 tahun berlayar menggunakan 'rumah bot' menyusuri Sungai Limbang merentas sempadan Brunei terus ke Kuching hampir meragut nyawanya apabila nyaris karam di sungai itu pagi tadi.

Bot tanpa enjin dinaiki Jonathan Wayne, hilang kawalan dihanyutkan arus deras Sungai Limbang, sebelum tersangkut dan diselamatkan anak kapal tongkang di sungai itu jam 8.31 pagi.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Limbang, Zakaria Matnor berkata, pelancong itu memulakan pengembaraan dari bandar Limbang jam 8 pagi menggunakan bot lama diubah suai menjadi 'rumah bot' yang digerakkan menggunakan pendayung dan layar.

"Rakyat Amerika Syarikat itu merancang berlayar menyusuri sungai itu ketika air surut. Semasa kejadian arus Sungai Limbang sangat deras dan beliau gagal untuk mengawal botnya.

"Namun, beliau bernasib baik apabila rumah bot terbabit tersangkut pada besi pengikat tongkang di tepi sungai dan diselamatkan'" katanya hari ini.

Difahamkan tujuan warga asing itu menyusuri Sungai Limbang menggunakan bot lama yang diubah suai menjadi rakit ialah untuk merakamkan pemandangan sekitarnya.

Warga asing itu baru sahaja bertolak dari bandar Limbang menuju ke negara jiran Brunei Darussalam.

Berita Harian X