Isnin, 11 September 2017 | 10:02pm
JAAFAR berada di kawasan tanah milik keluarganya yang sudah ditelan laut sambil menunjukkan salinan geran tanah milik keluarganya di persisiran pantai Senggarang. - Foto Adi Safri
KAWASAN tanah penduduk sekitar persisiran pantai Senggarang yang musnah akibat hakisan. - Foto Adi Safri
TANAH penduduk di persisiran pantai Senggarang yang sudah menjadi sebahagian laut. - Foto Adi Safri
JAMBANTAN kecil Parit Keliling menjadi kenangan tapak asal Kampung Sungai Suloh yang sudah ditelan laut. - Foto Adi Safri
JAAFAR (tengah) bersama penduduk kampung menunjukkan restoran yang rosak akibat dinaiki air akibat hakisan pantai di pantai Senggarang. - Foto Adi Safri
JAAFAR (kanan) bersama penduduk menunjukkan kawasan tanah milik keluarga mereka yang sudah ditelan laut akibat hakisan. - Foto Adi Safri

Pantai Muar, Batu Pahat turut terhakis

BATU PAHAT: Peta daratan daerah ini mengecil hingga satu kilometer berikutan hakisan kritikal di sepanjang pesisiran pantainya sejak 45 tahun lalu.

Hakisan kritikal itu turut mengakibatkan garis pesisiran pantainya beralih arah dan semakin mengecil sebanyak tiga kali dalam tempoh berkenaan. Pada masa sama ada perkampungan, selain ribuan hektar tanah kebun hilang ditelan laut.

Antara lokasi benteng yang pecah akibat hakisan kritikal ialah Minyak Beku, Patah Pedang, Sungai Ayam, Sungai Suloh, Tanjung Laboh, Koris, Parit Balak, Sungai Lurus, Parit Jabar, Kampung Sri Pantai, Kampung Baru, Parit Hailam, Parit Botak, Sungai Berong, Punggur, Sungai Kluang Laut, Jambi, Bagan dan Tampok Laut.

Berikutan itu, kira-kira 20,000 penduduk di lebih 25 perkampungan pesisir pantai di Senggarang dan Rengit terjejas setiap kali air laut melimpah ke daratan, yang semakin kritikal sejak lima tahun lalu.

Penduduk, Jaafar Hashim, berkata berikutan hakisan itu, tempat kelahirannya, Kampung Sungai Lurus Laut kini sudah menjadi laut lepas, lenyap dan tidak wujud lagi.

"Itu cerita dulu iaitu pada tahun 1969 apabila kawasan rumah dan kebun milik nenek bersama 69 penduduk di kampung itu hilang ditelan lautan. Sebagai bukti ada sebuah kampung di dasar laut itu, kami masih simpan geran tanah asal untuk kenangan serta tatapan anak cucu.

"Untuk mengetahui kedudukan kampung itu amat mudah kerana ada kesan tinggalan seperti jambatan kecil Parit Keliling di Kampung Sungai Suloh Laut serta tunggul pokok dapat dilihat dengan jelas apabila air laut surut di kawasan itu," katanya kepada BH.

Beliau yang juga Ahli Majlis Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) berkata, kawasan daratan di Senggarang juga sudah tiga kali mengalami proses hakisan yang menyebabkannya semakin mengecil iaitu pada 1969, 1972 dan 1980.

"Namun, kejadian air pasang besar yang semakin kerap dan melimpah ke daratan, meningkatkan kebimbangan penduduk bahawa tidak mustahil sekali lagi air laut bakal menenggelamkan lebih banyak kampung serta tanah penduduk di sini," katanya.

Tinjauan di pesisiran pantai Senggarang dan Rengit mendapati ada 20 benteng penahan ombak pecah akibat dilanda ombak besar terutama ketika air pasang.

Malah, beberapa pintu air didapati sudah rosak dan tidak diselenggara, memungkinkan meningkatkan risiko banjir besar jika bertembung dengan air laut pasang.

Lebih membimbangkan, kejadian terbaru air laut melimpah ke daratan di Kampung Sungai Kluang Laut, Rengit yang berlaku pada hari kedua Aidilfitri lalu, menyaksikan 15 kediaman penduduk ditenggelami air.

Air naik hingga paras dada selama enam hari itu menyuramkan sambutan hari raya penduduk.

Bagi Ketua Kampung Orang Asli Sri Pantai, Senggarang, Ayob Jantan, menjadi harapannya supaya kerajaan dapat memantau dan memperbaiki semula semua benteng yang pecah serta rosak di sepanjang garisan pantai di daerah ini.

Katanya, kampung itu paling berisiko kerana terletak kira-kira 200 meter dari kawasan pantai dan lebih rendah daripada paras laut.

"Lihatlah keadaan pantai kampung ini yang sudah musnah dihakis hakisan ombak kritikal menyebabkan ia semakin menghampiri kawasan rumah penduduk," katanya.

Sementara itu, hakisan turut berlaku di Muar dan Tangkak, di mana kesannya masih jelas dilihat di kawasan hutan paya pantai di Mukim Seri Menanti hingga ke Mukim Sungai Balang.

Hakisan berlaku akibat cuaca yang sentiasa berubah dan paling buruk apabila ribut dan angin kencang sehingga menyebabkan gelombang air laut memecahkan struktur daratan pantai, selain turut menyebabkan muara sungai semakin cetek.

Berita Harian X