Sabtu, 9 September 2017 | 11:08am

Sultan Johor ketuai KMJ edisi ke-20


ORANG ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim memandu kereta beroda tiga Morgan buatan Britain dengan diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dalm jelajah Kembara Mahkota Johor bermula hari ini. - Foto Mohd Azreen Jamaludin

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, hari ini memulakan jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 sejauh 808 kilometer yang menyaksikan baginda memandu sendiri rekaan khas kereta beroda tiga Morgan.

Majlis pelancaran disempurnakan Sultan Johor yang berkenan berangkat merasmikan gimik pelepasan di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, hari ini.

Baginda yang tiba kira-kira jam 8 pagi diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam.


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim memandu kereta beroda tiga Morgan buatan Britain dengan diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. - Foto Mohd Azreen Jamaludin

Turut berangkat mengiringi, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Yang Dipertua Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; barisan EXCO kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.

Mohamed Khaled berkata, KMJ adalah antara satu cara institusi diraja dan Istana Johor mendekati rakyat dan bangsa Johor, memecahkan tembok feudal dan memodenkan institusi beraja.

"Ini adalah manifestasi raja dan rakyat berpisah tiada. Ia menterjemahkan keakraban raja dengan rakyat. Ruang rakyat mempamerkan kasih dan sayang mereka pada raja yang satu-satunya.


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim memandu kereta beroda tiga Morgan buatan Britain dalam dalam jelajah Kembara Mahkota Johor 2017 sejauh 808 kilomoter. - Foto Mohd Azreen Jamaludin

"Kembara ini memecah tembok feudal dan memodenkan institusi beraja. Melalui kembara ini, rakyat di seluruh pelosok negeri ini akan disantuni oleh Tuanku sendiri.

"Melalui kembara ini, istana dan raja yang menjadi payung kepada kita semua, akan mencemar duli, berangkat berkunjung mendekati rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan.


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim memandu kereta beroda tiga Morgan buatan Britain dengan diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Pelepasan dilakukan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli,pada majlis pelepasan Kembara Mahkota Johor 2017, di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru. - Foto Mohd Azreen Jamaludin

Majlis pelepasan disempurnakan Abdul Rahim yang menyaksikan Sultan Ibrahim memandu kereta roda tiga sambil diiringi Raja Zarith Sofiah.

Kereta beroda tiga buatan Britain itu direka khas mengikut spesifikasi baginda dan akan digunakan sepanjang empat hari KMJ berlangsung di 10 daerah di negeri ini membabitkan jarak perjalanan keseluruhan sejauh 808 kilometer.

Hari pertama KMJ membabitkan perjalanan sejauh 195 kilometer menyaksikan rombongan singgah ke Kampung Pasir Gudang Baharu, Titian Laksamana di daerah Kota Tinggi untuk santapan tengah hari dan lokasi terakhir Dataran Kembara di Mersing.

 

Berita Harian X