Jumaat, 8 September 2017 | 8:06pm
ORANG ramai mengunjungi pameran Matta Fair 2017 di PWTC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
ORANG ramai mengunjungi pameran Matta Fair 2017 di PWTC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
ORANG ramai mengunjungi pameran Matta Fair 2017 di PWTC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Sambutan luar biasa hari pertama MATTA Fair

KUALA LUMPUR: Hari pertama Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2017, menerima sambutan yang luar biasa daripada pengunjung, hari ini.

MATTA Fair diserbu pengunjung sejurus dibuka mulai jam 10 pagi hingga 9 malam.

Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati semua ruang pameran sesak dengan pengunjung yang tidak melepaskan peluang mendapatkan tawaran pakej pelancong menarik.

Rata-rata pempamer yang ditemui 'tidak cukup tangan' menerima sambutan luar biasa dari pengunjung yang hadir.

Pengurus Pemasaran dan Jualan Selamatbercuti.com, Bashrafi Rahman, menyifatkan sambutan pengunjung semalam amat menggalakkan dan meriah.


ORANG ramai mengunjungi pameran Matta Fair 2017 di PWTC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Tahun ini adalah kali ketiga kami terbabit. Sambutan pengunjung hari ini amat luar biasa. Jika tahun sebelum ini, hari pertama tidak begitu ramai, namun hari ini kami dibanjiri pengunjung.

"Walaupun baru hari pertama, kami terima kunjungan orang awam tanpa henti. Malah, hari ini (semalam) sahaja, kita berjaya menerima banyak tempahan pelancongan, terutamanya bagi pakej destinasi ke Turki." katanya ketika ditemui.

Beliau menyifatkan MATTA Fair sebagai platfom terbaik dalam membantu agensi tempatan mengembangkan perniagaan mereka.

Agensi luar negara, Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Jambi, Indonesia yang pertama kali terbabit dengan MATTA Fair, berpendapat program itu membantu rakyat Malaysia mengenali keunikan negara lain.

"MATTA Fair amat membantu kami dalam mempromosikan sektor pelancongan Jambi. Biarpun baru pertama kali terbabit, sambutan pengunjung ke kaunter kami amat menggalakkan,

"Malah, ramai rakyat Malaysia berminat untuk melancong ke Jambi. Dengan sambutan sebegini, menunjukkan acara begini wajar dianjurkan lebih kerap," katanya kepada BH.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui berpendapat pameran tahun ini lebih menarik berbanding edisi yang yang lalu.


Ramli Zobri. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pengunjung, Ramli Zobri, 60 dan isterinya, Maisarah Mohammad Saleh, 52 berkata pameran itu membantu orang awam mendapatkan agensi pelancongan yang berkualiti.

"Semua pempamer hari ini, menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang murah dan menarik. Malah dengan MATTA Fair, ia memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat persediaan melancong.

"Lebih menarik, kami dapat menemui agensi pelancongan yang menyediakan perkhidmatan mesra pelancong beragama Islam." katanya yang hadir ke pameran itu sejak awal pagi.

Han Sie Lin, 45, berkata acara ini membantunya mendapatkan agensi dan pakej yang berpatutan dan murah.

"Kebiasaannya, pakej yang ditawarkan terlalu mahal dan tidak sesuai dengan kehendak saya. Namun, hari ini saya menerima pelbagai tawaran pakej yang menarik.

"Bagi individu yang berpendapatan sederhana, acara ini amat membantu untuk mendapatkan pakej yang berpatutan. "katanya.

Acara yang memasuki edisi ke-44 itu, menampilkan 160 ejen pelancongan berlesen dan 1,314 gerai pempamer di tujuh ruang pameran.

Ruang pameran dibuka di Dewan 1, Dewan 1M, Dewan 2, Dewan 3, Dewan 4, Dewan 5 dan jambatan penghubung PWTC.

Pelbagai gerai pempamer percutian domestik dan antarabangsa menawarkan aneka pakej termasuklah pakej hotel, pelayaran dan taman tema.

Pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah pakej percutian lumayan menerusi peraduan dengan pembelian minimum RM300 atau RM100, masing-masing bagi pakej percutian antarabangsa dan domestik.

Baucar perjalanan bernilai RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 sebagai tiga hadiah utama peraduan bagi pemenang pakej pelancongan tempatan yang ditaja MATTA.

Manakala pemenang peraduan pakej pelancongan antarabangsa pula ialah dua tiket penerbangan dua hala Emirates Airlines (Emirates) dari Kuala Lumpur ke Dubai yang ditaja Superjet Sjt Group Dubai.

Berita Harian X