Ahad, 3 September 2017 | 1:58pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersalaman dengan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa hadir untuk mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Tertinggi Mengenai Keselamatan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam hari ini.- Foto BERNAMA

KKB ICQS Bukit Kayu Hitam dibuka

BUKIT KAYU HITAM: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, yang hampir selesai pembinaannya mampu beroperasi sepenuhnya 1 November ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selaras operasi penuh ICQS itu, tempoh operasi di pintu sempadan Malaysia-Thailand di sini, akan dilanjutkan dari 18 jam sebelum ini kepada 20 jam sehari.

Sebagai permulaan, katanya, komponen pertama ICQS iaitu Kompleks Kenderaan Berat (KKB) yang menjadi sebahagian daripada projek bernilai RM425 juta mula dibuka hari ini.

"Mulai hari ini, kita mulakan operasi di ICQS bagi kenderaan berat dari Thailand dan dari negara ini ke Thailand.

"Kita sudah arahkan lima jabatan dan agensi untuk melakukan operasi sepenuhnya 100 peratus pada 1 November ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Keselamatan ICQS Bukit Kayu Hitam di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di sini, hari ini.

KKB merangkumi 60 peratus daripada komponen pembangunan fasa satu projek ICQS Bukit Kayu Hitam, meliputi penyediaan dua kali ganda lorong pemeriksaan berbanding sebelumnya.

Ia dilengkapi aplikasi penguatkuasaan seperti mesin pengimbas kargo, jambatan timbang, bilik sejuk, pusat kuarantin haiwan dan tanaman.

Baki 40 peratus projek fasa satu membabitkan penyediaan Kompleks Kenderaan Ringan (KKR), Pejabat Operasi dan Pentadbiran serta kemudahan awam yang dijangka selesai sepenuhnya sebelum pembukaan sepenuhnya 1 November ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berpuas hati dengan perjalanan projek berkenaan yang dianggap positif, walaupun sebelum ini lewat 700 hari berbanding jadual.

"Penyerahan 100 peratus ICQS Bukit Kayu Hitam kepada kerajaan akan dibuat pada 31 Oktober ini manakala mesyuarat jawatankuasa tertinggi akan diadakan sekali lagi pada 1 November untuk memastikan tiada cacat cela.

"Penyelarasan terbaik dilakukan pelbagai kementerian dan agensi termasuk kerajaan negeri. Langkah turun padang bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, tetapi mempermudah cara bagi menentukan semua yang terbabit memberikan komitmen," katanya.

Mengenai lanjutan operasi 24 jam pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Ahmad Zahid berkata, ia akan direalisasikan pada 1 Januari 2019, membabitkan komitmen kedua-dua pihak.

Mengenai operasi pembersihan besar-besaran bagi mengatasi penyeludupan susulan operasi penuh ICQS Bukit Kayu Hitam, beliau berkata, ia sentiasa dilakukan.

"Motto kami ialah tidak ada hari tanpa operasi termasuk operasi penguatkuasaan. Kepada penyeludup dan bakal penyeludup, ingat itu," katanya.

184 dibaca
Berita Harian X