Sabtu, 2 September 2017 | 5:12pm
MUHAMMAD Aleef Syahmi Zainuri melapah daging lembu sambil dibantu bapanya, Zainuri Abd Aziz ketika ditemui pada Program Korban Perdana di Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri di Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Melapah daging semuda 10 tahun

IPOH: "Saya tak takut sebab seronok melapah lembu."

Pengalaman mengikut bapanya ke program ibadat korban sejak berusia enam tahun membuatkan Muhammad Aleef Syahmi Zainuri, 10, memanfaatkan sepenuhnya peluang melapah sepenuhnya bahagian lembu korban.

"Seronok dapat peluang melapah. Saya belajar mengeluarkan lidah dan kaki, memotong kulit, membawa keluar dan memotong tulang rusuk, perut serta dan limpa," katanya teruja ketika ditemui pada Program Korban Perdana di Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu bangun seawal jam 5 pagi tadi kerana teruja mahu mengikut bapanya melapah daging korban.

Malah, Muhammad Aleef menetapkan sasaran untuk menjadi penyembelih haiwan korban kira-kira tiga tahun lagi apabila memasuki sekolah menengah untuk membantu bapanya yang mahir menyembelih ternakan.

Bapanya, Zainuri Abd Aziz, 41, berkata Muhammad Aleef begitu berminat melakukan tugas melapah sehingga meminta pisau khas diberikan bagi tujuan berkenaan.


MUHAMMAD Aleef Syahmi Zainuri, 10. - Foto Balqis Jazimah Zahari

"Sebagai percubaan, kemahiran pertama saya ajarkan ialah mengeluarkan lidah dan melapah kepala lembu yang saya bawa pulang selepas menghadiri program korban semalam.

"Hari ini, pertama kali saya memberi kebenaran kepadanya melapah.

"Mulanya saya risau tetapi nampaknya dia boleh melapah dengan yakin, jadi saya akan turunkan sedikit demi sedikit ilmu melapah dan penyembelihan kepadanya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program berkenaan, Abd Farid Salleh, berkata hampir 800 bungkus daging korban diagih kepada asnaf dan penduduk sekitar bandar raya ini. 

Beliau yang juga Imam Besar Masjid Negeri, berkata ia adalah kali pertama masjid berkenaan mengadakan program korban secara besar-besaran dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan di seluruh negeri. 

"Sejumlah 21 ternakan membabitkan 15 lembu, empat kerbau dan dua kambing dikorbankan pada majlis ini dengan kerjasama 400 petugas dan sukarelawan," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X