Sabtu, 2 September 2017 | 3:47pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (kiri) dan Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas (kanan) menandatangani 'bunting' sebagai gimik perasmian Konvensyen myPPP negeri di Rumah Media, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC). - Foto Khairunisah Lokman

'Saya buat kerja, akan bertanding di Cameron''- Kayveas

AYER KEROH: Presiden MyPPP, Tan Sri Dr M Kayveas menyatakan akan tetap bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun kerusi itu turut diintai MIC.

Beliau berkata, selama dua tahun kerusi itu 'ditinggalkan' penyandangnya, Datuk Seri G Palanivel, menyebabkan beliau sendiri bertindak turun padang bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan oleh Barisan Nasional (BN).

"Dua tahun kerusi Parlimen Cameron Highlands ditinggalkan dan kini bebas. Sejak itu juga saya turun padang, jadi saya buat keputusan untuk bertanding di situ.

"Malah, sebelum keputusan itu, saya maklumkan dulu kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak untuk bekerja, beliau kata OK pergi kerja. Jadi, lebih baik saya bertanding, kenapa perlu bagi orang lain (bertanding)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen MyPPP Negeri Melaka 2017 di Auditorium Rumah Media Melaka, di sini, hari ini yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Yang hadir sama, Pengerusi MyPPP negeri, Datuk Chiw Tiang Chai.

Isnin lalu, ketika merasmikan Konvensyen MIC Pahang Ke-71, di Temerloh, Subramaniam mahu kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal ditandingi parti itu pada PRU-14 kerana kerusi tradisi MIC sejak dulu.

Ditanya adakah beliau sudah mengadakan perbincangan lanjut dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam, Kayveas berkata, sehingga kini beliau masih menunggu maklum balas Subramaniam dan menegaskan sudah menyerahkan nombor telefonnya.

"Setakat ini kita masih belum tahu siapa calon di Cameron Highlands. Jika BN tak beri tiket saya bertanding, saya buat tiket sendiri memandangkan tempat itu bebas," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, komitmen MyPPP dalam komponen BN tidak boleh dipersoalkan, selain turut membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan negara.

"MyPPP terus menunjukkan komitmen tinggi membantu BN kekal cemerlang dalam menghadapi PRU-14. Kesetiaan ditunjukkan kepada kepemimpinan dan diharap dapat meminimumkan pergeseran dalam parti," katanya.

Berita Harian X