Sabtu, 2 September 2017 | 3:05pm
PENGARANG Eksekutif Berita, Rencana dan Digital, Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika majlis ibadah korban anjuran Badan Khairat Kematian NSTP di ruang legar Balai Berita NSTP, Bangsar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PENGARANG Eksekutif Berita, Rencana dan Digital, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (kanan) dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi (dua dari kanan), bersama kakitangan NSTP bergotong royong melapah daging ketika majlis ibadah korban anjuran Badan Khairat Kematian NSTP di ruang legar Balai Berita NSTP, Bangsar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PENGARANG Eksekutif Berita, Rencana dan Digital, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (tengah) dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi, bersama kakitangan NSTP bergambar bersama penerima penerima sumbangan ketika majlis ibadah korban anjuran Badan Khairat Kematian NSTP di ruang legar Balai Berita NSTP, Bangsar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Badan Khairat NSTP agih daging korban

KUALA LUMPUR: Badan Kebajikan dan Khairat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) berkongsi kemeriahan sambutan Aidiladha dengan mengorbankan enam ekor lembu dan dua ekor kambing di Balai Berita, di sini, hari ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata ibadah korban itu adalah acara tahunan NSTP dan program kali ini disertai 30 kakitangan NSTP yang bergotong-royong melapah daging, membungkus serta mengagihkannya kepada tiga badan kebajikan terpilih, selain golongan asnaf masing-masing 15 ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin.

Katanya, Badan Khairat NSTP dan Syarikat Faiza Sdn Bhd turut menyumbang 60 kampit beras kepada golongan asnaf dijemput khas memeriahkan majlis berkenaan.

"Lima ekor lembu dan dua ekor kambing adalah sumbangan kakitangan NSTP, manakala seekor lembu sumbangan Pejabat Perdana Menteri. Selain itu, syarikat Adabi menyumbangkan produk rempah-ratus untuk program memasak," katanya selepas majlis agihan daging korban di Balai Berita, hari ini.

Daging korban berkenaan diagihkan kepada Rumah Titian Kasih Titiwangsa dan Persatuan Orang Kurang Upaya Brickfields, di sini, serta Rumah Anak-Anak Istimewa Rawang, Rawang.

Ahmad Zaini yang juga Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH bersama Setiausaha Badan Khairat NSTP, Zamanuddin Jusoh, turut menyertai program melapah serta kemudian memasak daging lembu dan kambing.

Berita Harian X