Jumaat, 1 September 2017 | 6:00pm

Kari daging Melaka meriahkan sambutan Aidiladha di Kemboja

KAMPONG CHAM (KEMBOJA): Sambutan Aidiladha tahun ini lebih bermakna bagi penduduk Kampung Kork di sini, apabila berpeluang berjamu kari daging yang disediakan sukarelawan dari Maahad Tahfiz Baitul Tariq, Klebang, Melaka.

Hidangan istimewa masakan Malaysia itu adalah sebahagian daripada aktiviti kenduri rakyat menerusi 'Program Jejak Asnaf @ Korban Bumi Kemboja' membabitkan sukarelawan, penduduk kampung serta peserta korban.

Terdahulu, penduduk, sukarelawan dan peserta korban menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Qausar Daulah Qatar, sebelum bergotong-royong menyembelih lembu sebelum memasak hidangan daging korban.

Penduduk kampung, Rosli Amin, 27, mengakui cukup teruja menyambut Aidiladha kali ini lebih-lebih lagi aktiviti memasak hidangan daging korban sesuatu yang berbeza ditampilkan sukarelawan serta peserta korban dari Melaka.


UMAT Islam melakukan ibadah korban sempena perayaan Aidiladha di Masjid Al-Qausar Daulah Qatar. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Malah saya sendiri belum pernah merasai hidangan kari daging. Syukur dan terima kasih kerana datang meraikan kami kerana hanya pada Aidiladha sahaja kami mewah menjamu hidangan daging," katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi Masitah Adam, 23, yang teruja dengan kemeriahan sepanjang program korban dan kenduri rakyat berlangsung.


UMAT Islam melakukan ibadah korban sempena perayaan Aidiladha di Masjid Al-Qausar Daulah Qatar. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

UMAT Islam melakukan ibadah korban sempena perayaan Aidiladha di Masjid Al-Qausar Daulah Qatar. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Saya rasa inilah majlis paling meriah yang pernah dianjurkan di kampung saya. Kami cukup terharu dengan kehadiran sukarelawan dari Malaysia," katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Maahad Tahfiz Baitul Tariq, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata 29 ekor lembu diperuntukkan untuk ibadat korban, manakala dua ekor lembu dikhaskan untuk program kenduri rakyat.

"Hampir 500 kilogram daging lembu korban yang dikumpulkan kemudian diagihkan kepada golongan asnaf daripada 10 kampung berhampiran melalui wakil masing-masing.

"Kami sengaja memilih kawasan pedalaman untuk mengajak peserta melihat kehidupan sebenar umat Islam Kemboja yang kurang bernasib baik.

"Melalui aktiviti gotong-royong ibadat korban serta memasak, ia dapat menceriakan golongan asnaf Kemboja bagi meraikan sambutan Aidiladha," katanya.


MASYARAKAT Islam menjamu selera pada 'Program Jejak Asnaf @ Korban Bumi Kemboja' di Masjid Al-Qausar Daulah Qatar. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

13 dibaca
SUKARELAWAN bergotong-royong menyediakan hidangan pada 'Program Jejak Asnaf @ Korban Bumi Kemboja' di Masjid Al-Qausar Daulah Qatar. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Berita Harian X