Khamis, 31 Ogos 2017 | 5:03pm
TINJAUAN aliran trafik mulai sesak pada jam 11 pagi di sekitar plaza tol gombak sempena menjelang Aidiladha. - Foto Zunnur Al Shafiq

Penduduk tinggalkan Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Beberapa laluan keluar dari Lembah Klang masih sesak tengah hari tadi selepas orang ramai memanfaatkan cuti Aidiladha esok, cuti sekolah dan cuti khas Isnin ini dengan meninggalkan ibu kota.

 

Lebuh raya utama menuju ke utara dan selatan mengalami peningkatan jumlah kenderaan dan aliran trafik yang perlahan di beberapa lokasi.  

 

Menurut jurucakap Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), kesesakan bermula kira-kira satu kilometer sebelum Plaza Tol Gombak.

 

Katanya, kesesakan dapat dilihat sebelum Plaza Tol Gombak dengan keadaan aliran trafik semakin perlahan sebelum dan selepas plaza tol berkenaan.

 

Beliau berkata, aliran trafik yang perlahan itu berterusan sehingga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah dan juga menuju Bukit Tinggi.

 

"Selain itu, kesesakan turut dialami di Lentang menghala ke Kuantan.

 

"Laluan kontra yang dibuka sejak pagi tadi akan mula ditutup petang ini dan pengguna LPT diingatkan agar merancang perjalanan dengan mengikuti cadangan waktu perjalanan oleh LPT," katanya.

 

Pemandu juga diingatkan agar berhati-hati selepas keadaan cuaca hujan dengan jalan yang basah dan licin seperti di Bukit Tinggi, Lentang dan Bentong.

 

Sementara itu, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) aliran trafik yang semakin meningkat telah mengakibatkan beberapa kawasan sesak.

 

Menurut jurucakap PLUS, aliran trafik perlahan dari Sungai Buloh menuju Sungai Buaya, Bukit Beruntung menuju Tanjung Malim dan dari Behrang menghala ke Gopeng.

 

Katanya, kenderaan juga perlahan dari susur keluar Bangi hingga ke R&R Seremban.

 

"Aliran trafik tinggi turut dicatatkan di Kuala Kangsar menuju Bukit Berapit, dengan satu kemalangan berlaku di Kilometer 255.3 laluan Ipoh menuju Sungai Perak.

 

"Trafik di Jambatan Pulau Pinang pula lancar sepanjang jambatan kedua-dua arah," katanya.

Berita Harian X