Khamis, 31 Ogos 2017 | 12:35am
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) memotong kek pada Majlis Ambang Merdeka negeri Johor di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang.

Sambutan Ambang Merdeka meriah di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Menjuarai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah hadiah paling istimewa buat rakyat Malaysia yang meraikan ambang Merdeka malam tadi.

Sambutan kejayaan berganda itu diraikan rakyat dengan penuh semangat patriotik di seluruh negara tanpa mengira kaum, agama, latar belakang dan perbezaan politik.

Stadium Nasional Bukit Jalil, yang sejak 19 Ogos lalu menjadi venue KL2017, bertukar suasana malam tadi apabila menjadi medan patriotisme sambutan Ambang Merdeka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan rakyat Malaysia untuk meraikan kejayaan negara itu sambil menunggu detik 12 tengah malam bagi menyambut Hari Kebangsaan.

Tayangan video mengenai Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman membuka tirai acara Ambang Merdeka diikuti ucapan Najib, yang turut mengumumkan cuti khas pada Isnin sempena kejayaan Malaysia menjuarai Sukan SEA 2017.

Tepat jam 12 tengah malam, laungan 'Merdeka' bergema di seluruh stadium dan hadirin kemudian menyanyikan lagu Negaraku.


Sebahagian 40 warga Sik yang dilahirkan pada tanggal 31 Ogos dari 1946 hingga 2016 sekitar Sik diraikan dalam majlis sempena sambutan Ambang Merdeka di Dataran Majlis Daerah Kampung Kilang Ubi. - Foto NSTP/Shahrizal Md Noor

Ambang Merdeka juga diadakan di Menara Berkembar Petronas di sini yang diserikan dengan pelbagai program termasuk konsert dan persembahan bunga api untuk menghiburkan ribuan hadirin termasuk pelancong yang memenuhi Taman Esplanade KLCC.

Rumah-rumah ibadat tidak ketinggalan mengadakan acara mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Di KELANTAN, sambutan diadakan di Padang Pejabat Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) cawangan Kuala Krai dengan persembahan lagu loghat Kelantan diikuti dengan cabutan bertuah serta persembahan Dikir Gegar Merdeka Konsert Negaraku.

Ia disusuli dengan tayangan video pembangunan Kuala Krai sebelum ucapan perasmian oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong merangkap Ketua UMNO bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman.

Di TERENGGANU, ribuan pengunjung membanjiri Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu untuk menyaksikan persembahan kebudayaan dan nyanyian lagu patriotik.

Majlis itu, yang bermula pada 10 malam tadi, turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Zubir Embong.

Di SARAWAK, sambutan ambang Merdaka diadakan di Bintulu dengan Konsert Rakyat Ambang Merdeka di Esplanade malam ini.

Majlis kesyukuran turut diadakan di Masjid Assyakirin, Bintulu dengan dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Di KEDAH, Tasik Darulaman di Jitra menjadi lokasi sambutan ambang Merdeka yang padat dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan lagu patriotik, pertunjukan kereta mini dan motor vespa, konvoi motosikal daerah serta persembahan nasyid dan kesenian Islam.

Kemuncak acara itu adalah nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Kedah 'Allah Selamat Sultan' sebelum ketibaan Konvoi Merdeka Daerah dengan disusuli bacaan sajak Kemerdekaan dan perarakan masuk bendera Jalur Gemilang di tapak sambutan.

Di PULAU PINANG, ribuan pengunjung membanjiri Midtown Perda, Kubang Menerong, Tasek Gelugor untuk menyaksikan ambang Merdeka anjuran Unit Penyelaras Pelaksanaan Pulau Pinang dengan kerjasama Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (Penbex).

Pengunjung juga berpeluang membeli belah di kawasan itu kerana terdapat lebih 300 usahawan berniaga dan menawarkan harga promosi pelbagai produk.

Di NEGERI SEMBILAN, sambutan diadakan dengan semangat kesukanan apabila penonton disajikan dengan upacara penutupan Sukan SEA 2017 melalui skrin layar besar yang dipasang di Padang Majlis Perbandaran Seremban.

Di JOHOR, sambutan diadakan di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor Bahru dan dimeriahkan dengan kemunculan bintang pop yeh yeh Datuk Jeffry Din dengan irama lagu popular Mas Mona, lapor BERNAMA.

Di PASIR GUDANG, lebih 10,000 pengunjung membanjiri Ambang Merdeka 2017 peringkat negeri di Bukit Layang-layang.

Sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pegawai Daerah Johor Bahru, Muhamad Fuad Radzuan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), A Rahim Nin.

Berita Harian X