Rabu, 30 Ogos 2017 | 9:31pm
LEBIH 1,500 peserta terdiri daripada orang ramai dan masyarakat setempat memeriahkan kempen program membudayakan al-Quran, Merdeka dan World #QuranHour, di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn.- Foto Mohd Azren Jamaludin
SEBAHAGIAN peserta terdiri daripada orang ramai dan masyarakat setempat memeriahkan kempen program membudayakan al-Quran, Merdeka dan World #QuranHour, di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn.- Foto Mohd Azren Jamaludin

World #QuranHour di Johor Bahru tampil kelainan

JOHOR BAHRU: Program membudayakan al-Quran, World #QuranHour di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, di sini hari ini menampilkan kelainan apabila memperkenalkan slot 'tadabbur', iaitu berfikir secara dalam.

Pengerusi Rumah Ngaji Johor, Shamsudin Ismail, berkata slot itu sebelum bermulanya program World #QuranHour yang menyaksikan enam qari dari seluruh Johor membaca dan menceritakan maksud ayat dalam enam bahagian dalam surah Yasin.

Katanya, Johor negeri pertama mengadakan program World #QuranHour, sesuai dengan rutin tahunan di negeri ini menganjurkan tahlil dan bacaan Yasin pada malam kemerdekaan yang kebetulan pada 9 Zulhijjah.

"Kempen World #QuranHour pada 9 Zulhijjah kebetulan malam ini adalah malam ambang merdeka. Di Johor, sudah menjadi amalan di semua masjid dan surau membacakan tahlil serta surah Yasin.

"Slot tadabbur hari ini menampilkan penceramah agama yang juga Ikon Belia Johor, Ustaz Halim Hafidz, juga antara enam qari yang akan membacakan surah Yasin," katanya ketika ditemui.

Shamsudin berkata, selesai slot tadabbur, program diteruskan dengan bacaan al-Quran sehingga selesai.

"Selepas solat Isyak, acara diteruskan dengan tayangan rakaman audio visual di belakang kawasan masjid mengenai pemaknaan tawaf kepada semua peserta dan hadirin," katanya. 

Katanya, lebih 1,500 penduduk memeriahkan kempen itu yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Pejabat Setiausaha kerajaan Johor bersama Rumah Ngaji Johor.

Program itu disokong sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Selain Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn di sini, tiga lagi lokasi di Muar turut menjayakan program sama ialah Rumah Ngaji Qarya Ummi Hajah Mariam (QUHM), Masjid Wawasan Bukit Pasir dan Surau an-Nur Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.

Berita Harian X