Isnin, 28 Ogos 2017 | 8:39pm
DATUK Seri Jamil Khir Baharom di sidang median selepas mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan jemaah haji terakhir penerbangan KT 80 ke Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut kelihatan Timbalan Ketua Pegawai Ekekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Badlisyah Abdul Ghani (kanan).- Foto Abd Rahim Rahmat

Malaysia harap jemaah umrah diimbas awal

SEPANG: Malaysia berharap pelaksanaan projek rintis proses imbasan awal bagi jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut membabitkan jemaah umrah pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata program rintis itu memudahkan jemaah haji dari negara ini kerana diberikan laluan khas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi berikutan pemeriksaan dokumen perjalanan sudah dibuat awal di KLIA.

"Justeru, model ini menjadi tanda aras kepada keberkesanan percubaan yang dilakukan di Malaysia, seterusnya menjadi faktor penentu sama ada boleh dilaksanakan pada masa akan datang (bagi ibadah umrah).

"Sehubungan itu, ada juga yang berpandangan supaya sistem ini turut dilaksanakan untuk musim umrah bagi memudahkan jemaah Malaysia," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelepasan penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia di mana seramai 475 jemaah haji terakhir berlepas melalui penerbangan Malaysia Airlines MH8004.

Dalam pada itu, kata Jamil, kejayaan pelaksanaan program rintis itu adalah kerana sistem yang digunakan di Malaysia serta yang dibangunkan di Arab Saudi adalah sepadan dan tidak semua negara mempunyai sistem sama.

Malaysia menjadi negara pertama di dunia mendapat kepercayaan kerajaan Arab Saudi untuk dilaksanakan sistem imbasan awal itu sejak 24 Ogos lalu.

Pelaksanaan projek itu bermakna pemeriksaan imigresen Arab Saudi terhadap jemaah haji Malaysia dilakukan di KLIA dan tidak perlu lagi dibuat di Arab Saudi sekali gus menjimatkan banyak masa.

Selain itu, Jamil berkata semua isu kelewatan visa membabitkan jemaah haji di negara ini berjaya diselesaikan sepenuhnya dan pelepasan penerbangan terakhir itu melengkapkan jumlah seramai 30,200 jemaah haji Malaysia pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua pihak tidak mempercayai mesej yang viral dalam media sosial yang mendakwa tarikh Hari Wukuf adalah pada Jumaat ini.

"Wukuf jatuh pada 9 Zulhijah atau Khamis ini dan sambutan Aidiladha pada 10 Zulhijah iaitu hari Jumaat.

Mesej viral itu mengatakan musim haji kali ini adalah 'Haji Akbar' tetapi ia tidak benar kerana Hari Wukuf jatuh pada Khamis dan bukannya Jumaat.

Berita Harian X