Sabtu, 26 Ogos 2017 | 5:44pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tiga dari kanan) melihat pengunjung, Nurfahana Baharuddin, 24, (empat dari kiri) mengisi borang pendaftaran pencari kerja sambil diperhatikan Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Norashikin Ismail (dua dari kanan) pada Program Temu Duga Terbuka Peringkat Zon Selatan 2017 yang dianjurkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Belia perlu berani sertai pekerjaan lasak - KM Melaka

AYER KEROH: Sudah tiba masanya, belia negara ini menyahut cabaran dengan menyertai sektor pekerjaan lasak yang menguji tahap kemampuan diri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, selain mampu menyerlahkan potensi sebagai pekerja berkemahiran, sektor baharu itu akan meningkatkan kebolehpasaran individu sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja warga asing.

"Usaha itu akan dapat direalisasikan sekiranya majikan atau syarikat bersedia untuk menggajikan pekerja tempatan khususnya generasi muda dengan bayaran yang setimpal dengan kerja dilakukan mereka.

"Melalui Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), kerajaan percaya ia dapat meningkatkan kebolehpasaran pekerja tempatan dari segi keupayaan diri, ilmu, kemahiran serta pengalaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Selatan 2017 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir sama isterinya, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Ketua Sekretariat SL1M, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Norashikin Datuk Ismail.

Sementara itu, Idris berkata, kadar pengangguran di Melaka, kekal pada kadar 0.7 peratus sejak tujuh tahun lalu, sekali gus meletakkan negeri ini kekal terendah bagi kadar pengangguran di negara ini.

"Tiada alasan untuk individu tidak mempunyai pekerjaan sebagaimana program SL1M yang menawarkan sebanyak 15,000 peluang pekerjaan bagi individu lepasan darjah enam hinggalah kepada graduan peringkat tertinggi iaitu Ijazah Doktor Falsafah (PhD)," katanya.

Sementara itu, Norashikin berkata, program selama dua hari berakhir esok itu dijangka dikunjungi lebih 20,000 pemohon untuk merebut kira-kira 15,000 peluang pekerjaan bagi pelbagai sektor dan industri.

"Kita mahu graduan keluar daripada kepompong kebiasaan dan bersedia menyahut cabaran dalam dunia pekerjaan hari ini, termasuklah bersedia untuk berhijrah dan jauh dari ahli keluarga," katanya.

Berita Harian X