Jumaat, 18 Ogos 2017 | 8:25pm
- Foto hiasan

Buli angkara gangguan personaliti

KUALA LUMPUR: Gangguan personaliti sehingga menyaksikan perubahan tingkah laku akan tercetus jika empat faktor yang dikenal pasti menjadi punca peningkatan gejala buli tidak ditangani.

Pakar psikologi, Dr Fauziah Hanim Abd Jalal, berkata antara pengaruh utama yang menjadikan pelajar sekolah mempunyai tingkah laku nakal adalah aspek pergaulan rakan sebaya.

Katanya, faktor ekologi itu akan menyebabkan perubahan pemikiran, pembawaan diri dan tingkah laku yang akhirnya mengundang risiko mana-mana individu menjadi pembuli.

"Berdasarkan aspek psikologi, pembuli lazimnya memendam rasa tidak puas hati kerana pernah menjadi mangsa, sekali gus ingin menyalurkan nasib atau amarah itu kepada orang lain.

"Gangguan personaliti ini menyebabkan dia tidak rasa bersalah ketika membuli atau melakukan sebarang kesalahan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mengenai empat elemen yang menjadi penyebab berlakunya peningkatan gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah, iaitu pemakanan, persekitaran, teknologi dan masyarakat.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali, berkata faktor lain yang dikesan menjadi punca penularan gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah kecenderungan untuk meniru aksi yang dipaparkan menerusi media sosial.

Katanya, kesinambungan elemen persekitaran dan teknologi berupaya merangsang keinginan pelajar sekolah untuk terjebak dalam pelbagai aktiviti sosial, termasuk gejala buli.

"Setiap punca kenakalan pelajar sekolah dan akhirnya terjerumus dalam kancah gejala buli mempunyai petanda awal yang berbeza seperti sifat melawan, bengis, menggunakan kata-kata kesat serta dominan.

"Disebabkan faktor makanan mengandungi kuantiti gula dan karbohidrat yang tinggi juga memainkan peranan kerana pelajar akan mempunyai jumlah tenaga berlebihan. Justeru, mereka perlu mencari saluran untuk menyalurkannya.

"Antara tindak balas lazim adalah dengan menyalurkan tenaga berlebihan menerusi kegiatan membuli dan mendera mangsa yang lebih lemah daripada mereka," katanya.

183 dibaca
Berita Harian X