Jumaat, 18 Ogos 2017 | 4:29pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Seri Lee Lam Thye, menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman di antara Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail (kanan) dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman (kiri) berkenaan Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP) di Dewan Bankuet Persada PLUS. - Foto Saifullizan Tamadi

PLUS kuat kuasa 'pasport keselamatan' Januari 2018

 

PETALING JAYA: Kakitangan dan kontraktor penyelenggaraan serta pembinaan lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan diwajibkan memiliki 'pasport keselamatan' bermula 1 Januari tahun depan.

 

Itu adalah inisiatif dilaksanakan syarikat konsesi lebuh raya terbabit menerusi satu Memorandum Perjanjian (MoA) Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP) selama tiga tahun antara PLUS dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), hari ini.

 

Menerusi EOSP itu, lebih 4,000 kakitangan dan kontraktor PLUS perlu mengikuti satu kursus latihan tujuh jam dikendalikan NIOSH berhubung keselamatan umum, pengurusan trafik, aktiviti kritikal dan tindakan kecemasan sebelum layak menerima pasport keselamatan yang sah selama tiga tahun.

 

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail, berkata EOSP itu bertujuan meningkatkan kesedaran berhubung keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan kakitangan serta kontraktornya.

 

Katanya, PLUS mahu mengurangkan kes kemalangan dan kematian di tempat kerja dalam kalangan kakitangan serta kontraktor yang terbabit membina dan menyelenggara lebuh rayanya.

 

"Sejak 2015 hingga Jun tahun ini, sebanyak 249 kemalangan membabitkan petugas yang menjalankan kerja di lebuh raya PLUS dan daripada jumlah itu, 13 kematian dicatatkan.

 

"Jumlah itu membimbangkan dan kami mahu mengurangkannya kepada sifar menerusi pelaksanaan EOSP, dan kursus latihan itu akan bermula tiga minggu lagi.

 

"Kami menjangkakan sebanyak 80 kakitangan, kontraktor dan penyelia berkaitan mengikuti EOSP menjelang 1 Januari 2018 dan apabila jumlah itu tercapai, pekerja yang tidak memiliki pasport keselamatan tidak akan dibenarkan bertugas," katanya ketika Majlis Menandatangani MoA EOSP antara PLUS dan NIOSH di Persada PLUS di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye; Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman dan Ketua Penolong Pengarah Pemantauan Operasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Harryati Rofik.

 

Terdahulu, ketika menandatangani MoA itu, PLUS diwakili Azman dan Ketua Jabatan SetiausahaPerundangan dan Korporatnya, Noor Meiza Ahmad, manakala NIOSH diwakili Zahrim dan Setiausaha Eksekutifnya, Ayop Salleh.

 

Sementara itu, Lam Thye meminta syarikat konsesi lebuh raya lain mengikut jejak langkah PLUS dengan mewujudkan pasport keselamatan masing-masing menerusi kerjasama dengan NIOSH.

 

Katanya, NIOSH turut menjalin kerjasama mewujudkan pasport keselamatan dengan syarikat dalam industri lain seperti minyak dan gas, elektrik, telekomunikasi, air, makanan dan sebagainya.

 

"NIOSH akan memberi komitmen dan menyumbang kepakaran membantu PLUS dan syarikat industri lain melatih pekerja supaya lebih peka pada bahaya dan risiko ditempat kerja," katanya.

Berita Harian X