Isnin, 7 Ogos 2017 | 8:24pm

Jemaah haji Malaysia meninggal di Madinah

KLANG: Seorang jemaah haji Malaysia, Mohd Ghazali Abd Rahim, meninggal dunia di Madinah, Sabtu lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham yang berasal daripada Taman Pengkalan Harapan, Ipoh, Perak itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.25 malam waktu Arab Saudi, selepas hampir seminggu berada di Madinah.

Mohd Ghazali, 53, bersama isteri, Fatimah Zaharah Ghazali, 53, ke Madinah pada 30 Julai lalu dengan menaiki penerbangan XY06B dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Anak sulung Allahyarham, Nor Fadillah Mohd Ghazali berkata, beliau tidak mengesan sebarang perubahan terhadap kelakuan bapanya sebelum berangkat menunaikan haji.

"Ayah seperti jemaah lain, begitu teruja ingin ke Tanah Suci walaupun kami sekeluarga baru sahaja mengerjakan umrah Disember tahun lalu.

"Kami dimaklumkan oleh emak bahawa ayah demam pada hari Khamis iaitu hari keempat mereka di Madinah dan mengalami cirit-birit pada keesokan harinya.

"Ketika itu, saya tidak memikirkan perkara yang serius kerana ayah turut mengalami gejala yang sama ketika mengerjakan umrah," katanya ketika ditemui di Kuaters Kakitangan Kolej Vokasional Klang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun sakit, bapanya sempat membeli sejadah dan terus menghantar barang yang dibeli itu kepada keluarga di Malaysia, sehari sebelum Mohd Ghazali meninggal dunia.

Sementara itu, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, jenazah Allahyarham diuruskan oleh petugas Tabung Haji dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi' Madinah selepas subuh, kelmarin.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian berjumlah RM1,500; air zam zam serta kurma kepada waris Allahyarham.

ANAK Allahyarham Mohd Ghazali, Nur Fadillah (kanan) dan Nor Hidayah (kiri) serta ibu Allahyarham, Saodah Ali (dua dari kiri) mengaminkan doa pada majlis bacaan tahlil di Kuaters Kolej Vokasional Klang, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman
ABDUL Azeez (dua dari kanan) bersama Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah (kanan) memberikan kata semangat kepada ahli keluarga Allahyarham Mohd Ghazali di Kuarters Kolej Vokasional Klang. - Foto Muhammad Sulaiman
Berita Harian X