Isnin, 7 Ogos 2017 | 7:07pm
BEKAS pembaca berita TV3, Ras Adiba Radzi menaiki MRT menuju ke stesen MRT Muzium Negara ketika tinjauan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melihat fasiliti OKU yang disediakan oleh pengurusan MRT. - Foto Aizuddin Saad
ROHANI beramah mesra dengan Ras Adiba Radzi ketika menaiki MRT menuju ke stesen MRT Muzium Negara untuk melihat fasiliti OKU yang disediakan oleh pengurusan MRT. - Foto Aizuddin Saad

Perkhidmatan MRT tidak abaikan OKU, warga emas

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 20 orang kurang upaya (OKU) termasuk lapan warga emas merasai pengalaman menaiki Transit Aliran Massa (MRT) merentasi empat stesen bermula Stesen Tun Razak Exchange (TRX) ke Muzium Negara.

Turut sama dalam kumpulan itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang melakukan tinjauan serta meneliti kemudahan pengangkutan awam mesra OKU bagi fasa kedua Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Rohani berkata, beliau bangga kemudahan itu mempamerkan Malaysia ke arah negara maju tetapi tidak mengabaikan keperluan OKU dan warga emas.

"Kita membawa warga emas, golongan OKU fizikal, penglihatan, pendengaran dan orang kerdil merasai kemudahan ini dan meneliti bentuk kemudahan yang perlu ditambah-baik.

"Setakat ini, 70 peratus mereka bersetuju kemudahan MRT di sini mesra pengguna dan mengesyorkan supaya disediakan tandas OKU mengikut jantina.

"Berdasarkan pemerhatian, hanya satu tandas disediakan di stesen TRX," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemudahan fasa kedua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Projek Laluan MRT Corp Laluan SB, Marcus Karakashian.

Rohani berkata, pihaknya menghargai kemudahan MRT untuk semua peringkat golongan termasuk semua lapan golongan sasar di bawah kementerian itu.

"Bagaimanapun, sebagai permulaan, saya mencadangkan supaya Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menempatkan sukarelawan di setiap stesen untuk membantu OKU, menambahkan bilangan papan tanda dan blok batuan pejalan kaki, berikutan pengguna perlukan masa untuk menyesuaikan diri," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ruzita Mohd Amin, berkata sistem pengangkutan awam perlu mencontohi negara maju yang dibina bersambungan antara satu sama lain.

"Saya berharap perkhidmatan Rapid Mobility disediakan kembali selepas ditamatkan setahun lalu bagi membolehkan pengguna OKU memanfaatkan kemudahan itu ke stesen MRT, monorel, tren, selain memperbanyakkan lain bas pengantara dan teksi aksesibiliti," katanya.

Seorang lagi pengguna OKU yang juga Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rosni Saini, 35, berkata beliau berpuas hati dengan kemudahan khas untuk golongan OKU di stesen MRT berkenaan.

"Saya boleh bergerak menggunakan laluan pejalan kaki dan mengetuk tongkat sepanjang blok batuan itu, rel tangan pada laluan khas OKU disediakan sehingga ke lif dan tandas," katanya.

Berita Harian X