Khamis, 3 Ogos 2017 | 2:27pm
KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. - Foto Mohd Fadli Hamzah

26 jawatankuasa siasat teguran punitif LKAN

PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan 26 Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat 103 teguran punitif membabitkan 60 di peringkat kementerian dan 43 di peringkat kerajaan negeri yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2016 Siri 1.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata daripada sejumlah 26 jawatankuasa siasatan, 14 ditumpukan untuk menyiasat 60 teguran punitif membabitkan 11 kementerian.

Beliau berkata, kementerian berkenaan adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Pertahanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kerja Raya.

"Selain itu, Kementerian Kesihatan; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan; Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri.

"Daripada 60 teguran punitif itu, 31 daripadanya mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib membabitkan 119 pegawai dan sembilan hasil pengauditan sedang diteliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya ketika berucap pada sesi bersama media susulan LKAN Tahun 2016 Siri 1 di sini, hari ini.

Beliau berkata di peringkat kerajaan negeri pula, 43 teguran punitif membabitkan 12 kerajaan negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Sabah.

"Lima teguran telah selesai disiasat dan 17 pegawai mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib," katanya.

Katanya, terdapat dua jenis teguran dalam LKAN iaitu teguran korektif adalah membabitkan penambahbaikan sistem dan prosedur manakala teguran punitif adalah penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas.

"Secara keseluruhan, sebanyak 895 teguran audit membabitkan 748 korektif dan 103 punitif dalam LKAN Tahun 2016 Siri 1," katanya.

Berita Harian X