Isnin, 31 Julai 2017 | 7:38pm

MPT hilang RM1.79j tak kutip lesen papan iklan

IPOH: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kehilangan perolehan hasil sebanyak RM1.79 juta dari 2014 hingga tahun lalu berikutan kegagalan mengutip bayaran 224 papan iklan luar yang dipamerkan di dalam kawasan pentadbirannya.

Analisis Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 juga melaporkan perkara sama di daerah Muallim iaitu terdapat 543 papan iklan luar tanpa lesen pamer dalam tempoh sama yang memungkinkan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) memperoleh hasil RM739,354 jika semua papan iklan itu dilesenkan.

Laporan itu menyebut pengiraan audit itu adalah berdasarkan kadar bayaran lesen mengikut kadar minimum yang ditetapkan oleh Undang-Undang Kecil MPT dan MDTM.

"Lawatan Audit pada bulan September hingga November 2016 di daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Muallim mendapati sebanyak 314 papan iklan luar yang dipamer di kawasan jajaran Lebuh Raya Utara Selatan tanpa Lesen Pamer. 

"Pada tahun 2013, program pemutihan dan bancian telah dijalankan oleh MDTM sebagai usaha untuk melesenkan papan iklan luar. Bagi tahun 2014 hingga 2016 pula aktiviti pelesenan secara rutin dijalankan oleh MPT dan MDTM. 

"Bagaimanapun, bermula Januari 2017 pihak MPT bersama Pejabat Daerah dan Tanah LMS telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Penguatkuasaan Papan Iklan bertujuan memantau papan iklan luar tanpa lesen itu," menurut laporan itu hari ini.

Laporan itu menyebut, pada pendapat Jabatan Audit Negara, pengurusan kawalan Lesen Pamer adalah kurang memuaskan kerana kadar lama masih digunakan bagi caj Lesen Pamer dan kurang pemantauan terhadap iklan yang dipamer tanpa lesen. 

Katanya, maklum balas yang diterima daripada MPT pada 19 Jun lalu menjelaskan bahawa kerja-kerja untuk meminda daripada kadar lama iaitu Undang-Undang Kecil Iklan (MPT) (pindaan) 1992 kepada kadar baru mengikut pindaan Undang-Undang Kecil Iklan (MPT) 2015 telah mula dilaksanakan membabitkan hampir 15,000 pegangan lesen iklan.

Bagaimanapun, ia memerlukan pemeriksaan fizikal di lapangan termasuk mengambil kira faktor saiz dan kadar lesen baharu dengan kaedah pengiraan yang berbeza berbanding sebelumnya. 

Jabatan Audit Negara menjangka kerja-kerja pindaan kadar lesen papan iklan itu boleh disiapkan dalam tempoh enam bulan, namun oleh sebab tiada tambahan kakitangan, ia menjadi berlarutan.  

12 dibaca
Berita Harian X