Selasa, 25 Julai 2017 | 6:22pm
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - Foto Syarafiq Abd Samad

Akta khusus untuk kesalahan hendap bekas pasangan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mempertimbangkan penggubalan akta khusus membabitkan kesalahan 'stalking' atau mengendap oleh bekas pasangan suami atau isteri.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, peruntukan bagi kesalahan itu tidak boleh dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 yang dibaca buat kali pertama pada 3 April lalu.

Beliau berkata, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) perlu dibaca bersama Kanun Keseksaan dan pada masa ini perbuatan 'stalking' masih belum menjadi kesalahan mengikut Kanun Keseksaan, sekali gus pindaan akta itu tidak boleh memperuntukkan perbuatan 'stalking' sebagai satu kesalahan khusus.

Bagaimanapun, katanya kementerian menjadikan perbuatan jenayah yang mempunyai elemen 'stalking' dalam tafsiran keganasan rumah tangga dalam pindaan Akta 521.

Katanya, pertama, ia membabitkan ugutan terhadap mangsa dengan niat untuk menyebabkan mangsa takut keselamatan diri dan harta atau pihak ketiga atau mengalami kesedihan, manakala kedua berhubung dengan mangsa atau pihak ketiga mengenai mangsa dengan niat untuk mengaibkan kehormatan mangsa melalui sebarang cara, elektronik dan lain-lain.

"Perbuatan 'stalking' bukan satu keganasan rumah tangga tetapi jika ia di tahap mengugut mangsa atau berhubung dengan cara mengaibkan mangsa, ia adalah keganasan rumah tangga.

"Namun kerajaan akan sentiasa mengikuti perkembangan perbuatan 'stalking' yang dihujahkan pelbagai pihak dan akan mempertimbangkan untuk menyokong supaya ia dijadikan satu kesalahan jenayah pada masa akan datang, mungkin dalam masa terdekat dengan mewujudkan satu lagi akta untuk tujuan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali kedua.

Rang undang-undang bagi tujuan meningkatkan perlindungan terhadap mangsa dan mengadakan program pemulihan kepada pihak terbabit dalam kes keganasan rumah tangga diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang undang-undang yang dibahaskan 22 Ahli Parlimen sejak semalam diluluskan menerusi undian suara di Dewan Rakyat hari ini apabila lebih suara bersetuju.

Berita Harian X