Selasa, 25 Julai 2017 | 2:54pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (empat dari kanan) bergambar bersama rakan sejawatnya selepas perasmian Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri- Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) ke-49 di Hotel Mulia, Jakarta. - Foto Asyraf Hamzah

Mahdzir dilantik Timbalan Presiden Majlis SEAMEO 2017-2018

JAKARTA: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sebentar tadi dilantik sebagai Timbalan Presiden Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) untuk tempoh 2017-2018.

Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Persidangan Majlis SEAMEO (SEAMEC) kali ke-49 yang diadakan secara dwitahunan itu.

Selaku tuan rumah, Menteri Pendidikan Indonesia, Prof Dr Muhadjir Effendy, dilantik sebagai Presiden Majlis SEAMEO untuk tempoh sama dan Pengerusi SEAMEC kali ke-49 ini.

Dalam ucapannya, Mahdzir berterima kasih atas pelantikan berkenaan, selain melahirkan penghargaan ke atas Presiden Majlis SEAMEO yang lalu, Teerakiat Jareonsettasin yang juga Menteri Pendidikan Thailand.

Beliau berkata, mesyuarat kali ini diharap membuktikan komitmen kukuh dalam kalangan negara Asia Tenggara ke arah mencapai transformasi pendidikan untuk SEAMEO.

"Sebagai Pengerusi Pendidikan ASEAN untuk tempoh 2016-2017, kami sedang melaksanakan Pelan Kerja ASEAN mengenai Pendidikan 2016-2020 untuk meningkatkan kerjasama dalam pendidikan bersama-sama rakan dialog dan pertubuhan antarabangsa.

"Sehubungan itu, kami mengharapkan sokongan dari SEAMEO dan pusatnya di seluruh ASEAN untuk mencapai wawasan ke arah kelestarian, progresif dan kesatuan Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya selaku ketua delegasi Malaysia sempena SEAMAC kali ke-49 ini.

Pada masa yang sama, Mahdzir berharap program Dialog Strategik antara Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (SDEM) yang dijangka diadakan sempena persidangan itu esok, akan membuahkan hasil yang diharapkan.

Katanya, SDEM secara umumnya membuka peluang kepada perbincangan intensif bagi pelaksanaan tujuh bidang keutamaan SEAMEO, khususnya dalam bidang pendidikan.

"Saya berharap persidangan ini juga akan mengukuh serta meluaskan jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang pendidikan seperti yang difokuskan dalam SEAMEO," katanya.

Berita Harian X